RUU Makanan 2026: Penguatkuasaan Adil, Perlindungan Data Perlu Diberi Perhatian
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 perlu mengambil kira aspek penguatkuasaan yang adil, perlindungan data digital serta pemerkasaan kapasiti makmal tempatan bagi memastikan keberkesanannya, khususnya di Sarawak.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, usaha memperkukuh Akta Makanan 1983 perlu seiring perkembangan industri makanan, termasuk pengeluaran, pembungkusan, penjualan dan pengiklanan menerusi platform digital.
“Kejayaan RUU ini bukan sekadar pada tingginya nilai denda, tetapi sejauh mana makanan berbahaya dapat dikesan lebih awal, ditarik balik dengan cepat, dan pihak yang benar-benar bertanggungjawab dikenakan tindakan.
“Kita mahu undang-undang yang tegas, tetapi pada masa yang sama adil dan boleh dilaksanakan,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Menurut beliau, penguatkuasaan juga perlu mengambil kira kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya di luar bandar yang berdepan kekangan teknologi, kemudahan dan kepakaran.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan penguatkuasaan berasaskan tahap risiko dan saiz perusahaan, termasuk bimbingan, tempoh penyesuaian serta bantuan teknikal sebelum hukuman dikenakan bagi kesalahan yang boleh diperbetulkan.
Beliau turut menegaskan perlunya perbezaan jelas antara kesalahan disengajakan, kecuaian serius dan kesalahan teknikal sebelum hukuman berat, termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun, dikenakan.
Menyentuh Seksyen 8A berkaitan akses kepada data berkomputer dan kata laluan, beliau menggesa prosedur operasi standard (SOP) yang jelas diwujudkan bagi memastikan setiap akses direkodkan dan diaudit demi melindungi data peribadi serta rahsia perdagangan.
Beliau turut mencadangkan portal penarikan balik makanan di peringkat kebangsaan diwujudkan selaras dengan Seksyen 13C bagi memudahkan pengguna menyemak produk berisiko, nombor kelompok, sebab penarikan dan tindakan susulan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelas kriteria Fasal 26 mengenai had makanan yang dibawa masuk untuk kegunaan peribadi, dengan mengambil kira keperluan isi rumah dan amalan masyarakat di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak, khususnya dengan Kalimantan.
Beliau turut menggesa penyelarasan penguatkuasaan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, Pejabat Peguam Besar Negeri (SAG) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan pertindihan kuasa.
Selain itu, kerjasama dengan universiti dan makmal bertauliah tempatan perlu diperkukuh bagi meningkatkan kapasiti ujian keselamatan makanan, khususnya analisis migrasi bahan kimia daripada pembungkus makanan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada makmal di Semenanjung. -EDISI UKAS