Tawaran Tajaan JPA Anak Sarawak & Sabah Digandakan
KUALA LUMPUR: Peluang anak Sarawak melanjutkan pengajian melalui tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bakal diperluas apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju menggandakan tawaran tajaan kepada anak kelahiran Sarawak dan Sabah.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan memberi peluang kepada 4,200 anak dari kedua-dua negeri itu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.
“Kerajaan bersetuju untuk menggandakan tawaran tajaan JPA kepada anak kelahiran Sabah dan Sarawak.
“Bermakna, seramai 4,200 anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke menara gading setiap tahun,” umum beliau.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Peningkatan tawaran tajaan itu merupakan antara usaha memperluas akses pendidikan tinggi serta membangunkan bakat dari kedua-dua negeri.
Bagi Sarawak, peluang tajaan yang lebih besar berpotensi membantu lebih ramai anak negeri meneruskan pengajian dan membina kelayakan untuk memasuki bidang pekerjaan berkemahiran. -EDISI UKAS