Datuk Amar Dr. Sim Perkukuh Hubungan Strategik Dengan Pengamal Media
KUCHING: Hubungan strategik antara kepimpinan Sarawak dan pengamal media terus diperkukuh menerusi Majlis Makan Malam Bersama Media anjuran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap peranan penting pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, selain memperkukuh jaringan komunikasi dan kerjasama profesional yang sedia terjalin.
Program yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemesraan itu menghimpunkan pengamal media daripada pelbagai agensi kerajaan serta organisasi media tempatan.
Selain mengeratkan hubungan, majlis tersebut turut menjadi platform pertukaran pandangan dan perkongsian maklum balas mengenai perkembangan semasa industri media serta isu berkaitan kepentingan masyarakat.
Interaksi mesra antara kepimpinan Sarawak dan pengamal media sepanjang majlis mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama penyampaian maklumat yang berkesan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama Timbalan Premier Sarawak dan para tetamu jemputan.
Turut hadir, isteri Timbalan Premier Sarawak, Datin Amar Enn Ong Siok En, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dan ADUN Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang.-EDISI UKAS