Sarawak Perkukuh Asas Ekonomi AI Menerusi Kerjasama Strategik SoftBank, Grab & PETROS
KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital serantau menerusi kerjasama strategik antara SoftBank Group Corp., Grab Holdings Limited dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Rangka Kerja yang ditandatangani ketiga-tiga pihak bagi meneroka pembangunan platform AI dan infrastruktur digital di Sarawak, sekali gus memperluas penyertaan negeri ini dalam ekonomi teknologi bernilai tinggi.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada Khamis disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Perjanjian berkenaan ditandatangani Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp., Masayoshi Son, Pengerusi Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Dato Janin Girie.
Menerusi perjanjian itu, ketiga-tiga pihak akan menilai dan merangka pelan hala tuju pembangunan platform AI dan infrastruktur digital di Sarawak secara berfasa.
Inisiatif tersebut merangkumi penerokaan pengkomputeran dan perkhidmatan AI, teknologi termaju, robotik, pembangunan tenaga kerja serta penyertaan komuniti bagi membina infrastruktur dan keupayaan yang diperlukan untuk menyokong industri teknologi bernilai tinggi.
Di bawah kerjasama itu, SoftBank akan menyumbang kepakaran dalam infrastruktur AI, pengkomputeran termaju, semikonduktor dan AI fizikal, manakala Grab akan memanfaatkan keupayaan aplikasi AI serta ekosistem digitalnya di Asia Tenggara.
PETROS pula akan menyumbang pengalaman dalam memanfaatkan sumber tenaga Sarawak untuk memacu pembangunan ekonomi menerusi Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta peranannya sebagai pemaju induk Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH).
Kerjasama strategik berkenaan turut menyokong aspirasi Sarawak untuk membangunkan ekonomi berteraskan teknologi bernilai tinggi, selain memperkukuh daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan infrastruktur AI dan industri teknologi termaju.
Usaha itu juga sejajar dengan aspirasi Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Pada masa sama, kerjasama tersebut melengkapi agenda ekonomi digital dan AI Malaysia di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Perkongsian strategik ini dijangka membuka peluang menarik pelaburan baharu, membangunkan bakat dan kepakaran tempatan serta merancakkan aktiviti ekonomi berasaskan teknologi di Sarawak, Malaysia dan rantau ini.
Inisiatif berkenaan juga berupaya menyumbang kepada peluasan infrastruktur dan kesalinghubungan digital negara, termasuk menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Secara keseluruhannya, kerjasama antara SoftBank, Grab dan PETROS menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha Sarawak membangunkan ekosistem bersepadu yang menggabungkan tenaga, infrastruktur digital, teknologi termaju dan modal insan bagi menyokong fasa pembangunan ekonomi negeri seterusnya.
Gabungan kepakaran dan kekuatan ketiga-tiga organisasi itu turut membuka ruang penerokaan peluang baharu dalam sektor AI, sekali gus memperkukuh peranan Sarawak dalam landskap ekonomi digital serantau yang semakin berkembang.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo dan Ahli Lembaga Pengarah PETROS, Datuk Sharbini Suhaili.-EDISI UKAS