DARO: Penantian penduduk di kawasan Batang Paloh untuk menikmati akses perhubungan yang lebih lancar bakal berakhir dengan siapnya Jambatan Batang Paloh, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri.
Bagi Jahari Masani, kewujudan jambatan itu bakal menghapuskan masalah kesesakan dan tempoh menunggu panjang di feri, terutama ketika musim perayaan yang sebelum ini boleh mencecah sehingga enam jam.
“Kelak, urusan berulang-alik ke Sibu termasuk menghantar hasil laut dan anak-anak yang bersekolah di sana juga akan menjadi lebih mudah,” katanya.
Sementara itu, Hanim Ali berharap jambatan berkenaan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitar serta membuka lebih banyak peluang yang dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Menurut Lau Sie Hoe, pembinaan jambatan itu amat dinantikan penduduk kampung yang sebelum ini perlu bergantung kepada feri untuk menyeberang, dengan tempoh menunggu dalam keadaan tertentu boleh mengambil masa sehingga sejam.
“Terima kasih kepada Premier Sarawak kerana memudahkan urusan penduduk luar bandar. Diharapkan kemudahan ini turut meningkatkan taraf hidup penduduk,” katanya.
Pengalaman Mornurazli Morshidi pula menggambarkan kepentingan jambatan berkenaan dari sudut akses kecemasan apabila beliau pernah terkandas bersama anaknya yang masih kecil pada tahun 2000 dan terpaksa menunggu feri sehingga keesokan harinya.
“Saya berharap selepas jambatan ini siap, urusan ke hospital dan dengan agensi kerajaan menjadi lebih mudah serta tiada lagi penduduk yang terkandas ketika memerlukan rawatan,” katanya.
Selain menghubungkan penduduk dengan kawasan sekitar, Jambatan Batang Paloh dijangka memperkukuh akses kepada kemudahan asas serta menyokong aktiviti ekonomi masyarakat setempat.- EDISI UKAS