Lapangan Terbang Miri Bakal Gabung Infrastruktur Moden, Tonjol Identiti Budaya Sarawak
MIRI: Projek menaik taraf Lapangan Terbang Miri bernilai RM445 juta bakal menggabungkan pembangunan infrastruktur moden dengan warisan budaya tempatan, sekali gus memperkukuh identiti Miri dan Sarawak sebagai destinasi yang dikenali di peringkat antarabangsa.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata projek yang diluluskan pada April 2026 itu dijangka meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang tahunan daripada kira-kira dua juta kepada empat juta orang.
Beliau berkata, pembangunan terminal berkenaan perlu dimanfaatkan untuk mengetengahkan identiti budaya Sarawak melalui penerapan elemen seni, kraf tradisional dan corak budaya masyarakat tempatan dalam reka bentuk dalaman lapangan terbang.
“Lapangan terbang moden dan identiti budaya tempatan boleh saling melengkapi. Lapangan Terbang Miri mesti menceritakan kisah kita sendiri,” katanya semasa berucap pada sesi libat urus anjuran Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Lee, elemen seni, kraf tradisional, corak budaya dan hasil kerja tangan masyarakat tempatan, khususnya komuniti Orang Ulu, boleh diterapkan dalam reka bentuk dalaman terminal bagi menggambarkan kekayaan warisan Miri, Baram dan Tanah Tinggi Kelabit.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penerapan elemen budaya perlu dilaksanakan secara tepat dan penuh penghormatan terhadap asal usul serta makna setiap warisan, selain memastikan terminal yang dinaik taraf kekal selamat, cekap, mudah diakses dan selesa kepada penumpang.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha mendapatkan kelulusan projek berkenaan telah diperjuangkan sejak 2016, dengan pelbagai perbincangan diadakan bersama kerajaan Persekutuan dan beberapa Menteri Pengangkutan Malaysia sebelum mendapat kelulusan rasmi pada April 2026.
Menurutnya, keperluan memperluas lapangan terbang itu kekal penting bagi memenuhi pertumbuhan trafik penumpang serta memperkukuh peranan Miri sebagai pintu masuk utama ke kawasan utara Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak atas sokongan dalam merealisasikan projek berkenaan.
Sesi libat urus yang berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober itu melibatkan pasukan projek Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), wakil persatuan kebudayaan, artis dan penggiat kraf tempatan bagi mendapatkan input berkaitan konsep reka bentuk dalaman terminal.-EDISI UKAS