Sarawak Kenal Pasti 23 Spesies Buluh Berpotensi Untuk Komersial
KUCHING: Sarawak sedang mengenal pasti spesies buluh berpotensi tinggi untuk penanaman komersial menerusi penyelidikan 23 spesies di Hutan Simpan Sabal, sekali gus membuka laluan kepada pembangunan industri hiliran berasaskan sumber mampan.
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datu Zainal Abidin Abdullah berkata, petak percubaan seluas kira-kira 25 hektar itu ditubuhkan pada penghujung 2018 bagi mengenal pasti spesies yang sesuai untuk dikomersialkan.
Menurut beliau, tapak berkenaan menempatkan kira-kira 10,000 anak benih daripada 23 spesies buluh, terdiri daripada 12 spesies tempatan dan 11 spesies luar negara termasuk dari Indonesia, Thailand, China dan Myanmar.
“Projek itu bertujuan membangunkan model ladang buluh yang berdaya maju dari segi teknikal dan komersial, memastikan bekalan bahan tanaman berkualiti secara mampan serta menyokong pembangunan industri buluh pada masa hadapan.
“Projek berkenaan turut menyediakan latihan kepada komuniti tempatan dan pelabur dalam aspek penanaman buluh,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Haluyah Awi dalam Majlis Perasmian ‘Sarawak Bamboo Day’ 2026 yang disempurnakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau lagi, tapak berkenaan juga dimanfaatkan untuk program pendidikan, penyelidikan dan latihan bersama universiti tempatan, selain menerima kunjungan bakal pelabur yang berminat meneroka potensi industri itu.
Dalam pada itu, Datu Zainal memberitahu, Dasar Pembangunan Industri Buluh Sarawak yang diperkenalkan pada 2023 menyediakan hala tuju pembangunan industri menerusi aktiviti hiliran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi serta kelestarian.
“Buluh berpotensi diproses menjadi pelbagai produk bernilai tambah termasuk perabot, panel, lantai, bahan pembungkusan, tekstil, kertas tisu, biojisim, bioarang, produk makanan dan kraftangan moden,” ujar beliau lagi.
Turut hadir, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Pengurus Besar ‘Sarawak Forestry Corporation’ Abang Arabi Abang Aimran serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS