LUBOK ANTU: Sebanyak RM295,000 diperuntukkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seremat dan Soh bagi memperkasa pembangunan kemudahan serta aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.
Daripada jumlah itu, JKKK Seremat menerima RM180,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), manakala JKKK Soh menerima RM115,000 melalui kedua-dua peruntukan tersebut.
Peruntukan itu diumumkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai semasa Program Randau Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ringkai Rabit, Seremat pada Khamis.
Pada majlis sama, Biro Wanita Seremat turut menerima RM10,000, manakala Biro Wanita Soh menerima RM5,000 menerusi MRP bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pembangunan wanita.
Program tersebut turut membuka ruang kepada penduduk menyuarakan keperluan setempat, termasuk bantuan kepada Biro Wanita serta cadangan pembinaan jambatan bagi meningkatkan kemudahan perhubungan.
Sementara itu, Datuk Dr Malcolm menyeru masyarakat agar terus bekerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan penduduk setempat. -EDISI UKAS