Peruntukan RM15,000 Perkasa Aktiviti Komuniti Berenggang
ENGKILILI: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Berenggang menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000, manakala Biro Wanita (Gerempung Indu) menerima RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan penduduk.
Peruntukan itu diluluskan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh semasa Program Randau Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Bunyau Kudang Berenggang, baru-baru ini.
Program berkenaan menjadi platform bagi penduduk menyampaikan keperluan serta cadangan pembangunan secara langsung kepada pemimpin, khususnya berkaitan kemudahan rumah panjang dan pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Antara permohonan yang dikemukakan Tuai Rumah Bunyau Kudang ialah pemasangan jubin di kawasan kaki lima rumah panjang serta peruntukan bagi menyokong aktiviti JKKK dan Gerempung Indu.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat lebih 20 rumah panjang di sepanjang Jalan Lemanak, sekali gus menekankan kepentingan kemudahan perhubungan dan pembangunan infrastruktur kepada masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Datuk Dr Malcolm menyeru masyarakat supaya memberikan kerjasama kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor bagi memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar tanpa gangguan.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama dan perpaduan masyarakat penting bagi memastikan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik serta memberi manfaat kepada penduduk.
Peruntukan yang diluluskan itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk melaksanakan program kemasyarakatan, kebajikan dan pembangunan wanita, sekali gus memperkukuh kesejahteraan komuniti Berenggang.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier, Kua Jack Seng, Pegawai Daerah Lubok Antu, Stanley Nunsang dan wakil JKR, Ghazali Ishak.-EDISI UKAS