Jalan Sebeliau–Bilararap Bakal Tingkat Kesalinghubungan, Ekonomi Penduduk
LUBOK ANTU: Pembinaan Jalan Sebeliau–Bilararap bakal meningkatkan kesalinghubungan masyarakat pedalaman Batang Ai dan Engkilili, sekali gus membuka peluang ekonomi serta memudahkan akses penduduk kepada kemudahan asas.
Projek berkenaan dimulakan secara rasmi menerusi Program Melasi Menoa Jalan Sebeliau–Bilararap yang disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh pada Rabu.
Majlis tersebut turut menyaksikan upacara pemberkatan oleh Pastor Trevor Tinda diikuti acara pecah tanah yang disempurnakan Datuk Dr Malcolm.
Apabila siap kelak, jalan berkenaan dijangka memudahkan pergerakan penduduk dan pengangkutan hasil pertanian serta produk tempatan ke pasaran, selain menjimatkan masa perjalanan.
Kemudahan itu juga bakal meningkatkan akses kepada sekolah, perkhidmatan kesihatan dan kemudahan awam, termasuk memudahkan pergerakan ketika kecemasan.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperkukuh infrastruktur luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat pedalaman.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lubok Antu, Stanley Nunsang serta pemimpin masyarakat dan penduduk setempat. -EDISI UKAS