Industri Buluh Sarawak Perlu Fokus Produk Bernilai Tinggi, Luaskan Peluang Ekonomi Rakyat
KUCHING: Pembangunan industri buluh Sarawak perlu beralih kepada penghasilan produk bernilai tinggi dan pengkomersialan berskala besar bagi membuka peluang ekonomi baharu, khususnya kepada perusahaan tempatan dan komuniti luar bandar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, potensi buluh tidak seharusnya terhad kepada penanaman bahan mentah, sebaliknya perlu dimanfaatkan melalui penyelidikan, pembangunan teknologi dan penghasilan produk yang memenuhi permintaan pasaran.
Menurutnya, antara bidang yang berpotensi diterokai ialah bioarang, karbon teraktif, perabot, lantai buluh, panel komposit serta produk berasaskan rebung, selain kraftangan dan cenderamata yang boleh diusahakan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Jika kita mencuba terlalu banyak perkara pada masa yang sama, sumber akan terpecah dan produk mungkin tidak mampu menembusi pasaran. Kita perlu fokus pada bidang tertentu dan melaksanakannya dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Seminar ‘Sarawak Bamboo Day’ 2026, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pembangunan industri itu turut memerlukan pelaburan berterusan dan pembangunan modal insan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran serta memenuhi keperluan sektor pemprosesan dan pembuatan berasaskan buluh.
Pada masa sama, penyertaan pekebun kecil dan pemilik tanah dalam penanaman buluh komuniti perlu diperkasa supaya mereka turut memperoleh manfaat daripada rantaian nilai industri tersebut.
“Bagi perusahaan PMKS, buluh boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan kraftangan, mainan, cenderamata dan produk hiasan kerana usaha ini berpotensi meningkatkan pendapatan isi rumah komuniti tempatan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Saya berbesar hati melihat perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta komuniti tempatan kita sudah mula menghasilkan produk berasaskan buluh yang dipamerkan di Bazar Buluh pada hari ini,” ujarnya lagi.
Selain kegunaan komersial, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengurusan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) berkata, buluh turut berpotensi dimanfaatkan untuk landskap, penghadang angin, kawalan hakisan tanah dan pembangunan tarikan ekopelancongan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan industri buluh memerlukan perancangan strategik, penyelidikan berterusan dan kerjasama semua pihak supaya sumber berkenaan dapat dikembangkan menjadi industri yang berdaya saing serta memberi manfaat ekonomi kepada Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar PUSAKA Haluyah Awi yang mewakili Pengurus Besar PUSAKA, Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation Abang Arabi Abang Aimran serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS