10 Isu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Bintulu Bakal Dibangkitkan Pada Persidangan DUN
BINTULU: Sebanyak 10 isu utama berkaitan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Bintulu akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, isu yang akan diketengahkan merangkumi penambahbaikan infrastruktur, kemudahan awam, perkhidmatan asas serta keperluan masyarakat seiring perkembangan pesat Bintulu sebagai pusat perindustrian dan ekonomi.
Katanya, antara perkara yang diberi perhatian ialah penambahbaikan operasi dan kecekapan logistik Pelabuhan Bintulu, peluasan projek mitigasi banjir ke kawasan perumahan berisiko serta cadangan menaik taraf Jalan Tanjong Batu kepada jalan berkembar enam lorong bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, beliau turut akan membangkitkan isu pengurusan parkir awam di kawasan komersial yang didakwa digunakan untuk tempoh panjang oleh pekerja kilang sehingga menjejaskan kemudahan pelanggan dan pengunjung.
Dalam aspek kemudahan asas, Johnny Pang akan mendapatkan penjelasan berhubung cadangan pembinaan tangki air bertingkat atau takungan tambahan bagi meningkatkan tekanan dan kestabilan bekalan air, selain cadangan pembinaan hospital kerajaan kedua di Bintulu bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan.
Keperluan memperkukuh keupayaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Bintulu, khususnya dari segi peralatan menyelamat dan memadam kebakaran di bangunan tinggi, turut menjadi antara perkara yang akan dibangkitkan.
Selain itu, beliau akan meminta perkembangan mengenai usaha meningkatkan kekerapan penerbangan antara Bintulu, Kuching dan Kota Kinabalu, termasuk langkah menarik lebih banyak syarikat penerbangan serta pengenalan perkhidmatan AirBorneo.
Bagi memenuhi keperluan pendidikan dan rekreasi masyarakat, Johnny Pang turut mencadangkan peluasan serta naik taraf Perpustakaan Awam Bintulu, termasuk penambahan ruang pembelajaran, selain pembangunan kawasan tebing Sungai Kemena sebagai hab sukan dan rekreasi komuniti.
Menurut beliau, kesemua isu berkenaan penting bagi memastikan pembangunan kemudahan awam dan perkhidmatan asas terus seiring dengan pertumbuhan penduduk serta perkembangan ekonomi Bintulu.- EDISI UKAS