Empat RUU Dibentang Pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19
KUCHING: Empat Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang akan berlangsung di Kompleks DUN Sarawak bermula 12 hingga 21 Oktober ini.
Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, empat RUU berkenaan merangkumi dua RUU perbekalan dan dua RUU pindaan tanpa melibatkan pengenalan RUU baharu.
“Empat RUU kerajaan akan dibentangkan, iaitu RUU Perbekalan (2027) 2026, RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026, RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dan RUU Cuti Umum (Pindaan) 2026.
“Tiada RUU baharu diperkenalkan. Dua daripadanya ialah RUU perbekalan, termasuk belanjawan, manakala dua lagi merupakan RUU pindaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada sidang media selepas Mesyuarat Pre-Council sempena Persidangan DUN Sarawak yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, RUU Perbekalan (2027) 2026 akan dibentangkan oleh Premier Sarawak pada bacaan pertama dan kedua pada 12 Oktober, sebelum bacaan ketiga pada 21 Oktober.
RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026 pula akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, manakala RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 akan dibentangkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Sementara itu, RUU Cuti Umum (Pindaan) 2026 akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia berkata, sebanyak 336 soalan merangkumi pertanyaan lisan dan bertulis telah diterima daripada 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 264 soalan adalah bagi jawapan lisan melibatkan 37 ADUN, manakala 72 lagi merupakan soalan bertulis daripada 13 ADUN.
Tambahnya, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak menerima jumlah pertanyaan tertinggi dengan sebanyak 36 soalan dikemukakan.
Hadir sama dalam mesyuarat ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie