Projek Pembangunan Lawas Dipantau Bagi Pastikan Manfaat Kepada Rakyat
LAWAS: Projek pembangunan melibatkan kemudahan asas, pendidikan dan prasarana awam di Lawas terus diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan projek berkenaan perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan dapat digunakan sepenuhnya oleh rakyat.
“Bukan sahaja kita mahu projek ini siap, tetapi kita mahu ia dapat digunakan dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan di sekitar kampung Jalan Punang pada Khamis.
Mengulas mengenai projek pembinaan bangunan baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Belipat, beliau berkata pembangunan infrastruktur pendidikan penting bagi menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa kepada murid dan tenaga pengajar.
Menurut beliau, sebanyak RM160 juta telah diperuntukkan bagi meningkatkan infrastruktur pendidikan di seluruh Bahagian Limbang melalui agensi pembangunan negeri.
Di Kampung Belangsat, beliau berkata projek pembinaan baharu surau berkenaan dijangka siap selewat-lewatnya awal bulan depan dan mampu menampung kira-kira 300 jemaah pada satu-satu masa.
Katanya, penambahbaikan kemudahan turut akan dilaksanakan secara berperingkat termasuk pemasangan penghawa dingin dan penyediaan kawasan letak kenderaan.
Beliau turut menegaskan kepentingan menangani isu tekanan bekalan air, khususnya menerusi projek pembinaan Tangki Aras Tinggi (HLT) di Bukit Naga yang berkapasiti dua juta liter sehari (2 MLD).
Katanya, projek bernilai RM27 juta itu melibatkan peningkatan kapasiti sistem bekalan air dan dijangka dapat membantu menangani masalah tekanan air rendah yang sering dihadapi penduduk di 11 kampung Jalan Punang ini.
“Kontraktor telah memberi komitmen untuk menyiapkan projek ini sebelum hujung tahun dan saya mahu bukan sahaja ia siap, tetapi dapat ditauliahkan dan beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan keperluan penambahbaikan kemudahan awam di Kampung Punang termasuk kawasan tempat letak kenderaan, Nature Walk dan Waterfront Punang bagi menyokong aktiviti masyarakat, perniagaan serta sektor pelancongan.
Lawatan tersebut turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan di Lawas berjalan mengikut perancangan, termasuk aspek pemantauan, penyelesaian isu teknikal dan pengoperasian kemudahan selepas siap.
Hadir sama, isteri Timbalan Premier Sarawak, Dato Morliah Datuk Awang Daud, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jienal Abiedin Datuk Pegiran Jawa, Penghulu Tuah Tengah, Penghulu Marli Ambi dan ketua-ketua kaum kawasan Jalan Punang.-EDISI UKAS