Pelaksanaan Seksyen 6 manfaatkan pemilik tanah NCR di Bario
MIRI: Seramai 77 penduduk Bario menerima 102 surat hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) bagi kawasan Blok Sungai Ukat, hasil pelaksanaan program pengukuran tanah di bawah Seksyen 6.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, penyerahan itu amat signifikan kerana membuktikan pengukuran tanah NCR di bawah Seksyen 6 tidak menyebabkan pemilik kehilangan hak terhadap tanah mereka.
"Pengukuran perimeter di bawah Seksyen 6 bertujuan mengenal pasti sempadan antara tanah NCR dengan tanah kerajaan, sebelum proses pengukuran lot individu dan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18 dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu di Dewan Masyarakat Bario Sentral pada Rabu.
Penyerahan itu melibatkan 51 penerima dari Kampung Pa’ Ukat bagi 67 lot seluas kira-kira 59 hektar dan 26 penerima dari Kampung Pa’ Umor bagi 35 lot seluas kira-kira 32 hektar.
Wakil rakyat Mulu itu menyifatkan penyerahan berkenaan sebagai detik bersejarah kerana buat pertama kali penduduk Bario menerima dokumen hak milik individu bagi tanah NCR mereka daripada Kerajaan Sarawak.
Beliau menambah, surat hak milik berkenaan diberikan secara percuma tanpa bayaran premium dan cukai tanah, selain mempunyai tempoh pegangan kekal.
Pada majlis sama, penduduk Kampung Batu Patong di Kelapang turut menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 melibatkan tanah NCR seluas 401 hektar yang telah diukur dan diwartakan.
Selain itu, seluas 1,648 hektar tanah NCR di Sungai Kelapang membabitkan Pa Mada, Pa Bengar, Pa Dalih, Batu Patong dan Ramudu telah dikenal pasti serta diluluskan untuk pengukuran di bawah Seksyen 6.
Datuk Gerawat menambah, Program Pengukuran Tanah NCR yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak sejak 2010 dilaksanakan dalam dua peringkat, iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6, diikuti pengukuran lot individu serta pengeluaran hak milik di bawah Seksyen 18 KTS.
Sehingga 31 Ogos 2026, katanya, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah melaksanakan pengukuran perimeter tanah NCR seluas kira-kira 1.246 juta hektar, dengan 975,413 hektar daripadanya telah diwartakan.
“Bagi pengukuran lot individu pula, sebanyak 112,232 lot membabitkan kawasan seluas 134,615 hektar telah berjaya diukur.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 39,973 lot melibatkan kawasan seluas 59,707 hektar telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTS,” katanya.
Beliau turut menyeru peruntukan tambahan dan berterusan bagi mempercepatkan pelaksanaan program pengukuran tanah NCR, khususnya pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18.
Hadir sama Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri, Anthony Aboi, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Juan Ubit, Ketua Masyarakat Kelabit Bahagian Miri, Pemancha Caleena Lalang Sakai, Penghulu Bario, Ken Paran Metu; serta Penghulu Kelapang, Thomas Gipang.-EDISI UKAS