RM100,000 Diperuntuk Naik Taraf Gelanggang Bola Keranjang Piasau Jaya
MIRI: Gelanggang bola keranjang di Taman Rekreasi, Jalan Mawar, Piasau Jaya 2 di sini bakal dinaik taraf menerusi peruntukan RM100,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek berkenaan merangkumi kerja mengecat semula keseluruhan permukaan gelanggang, menggantikan dua unit tiang dan jaring bola keranjang serta membina laluan joging sepanjang 150 meter dengan lebar satu meter di sekeliling gelanggang.
Kerja-kerja naik taraf itu dijangka mengambil masa tiga bulan bagi menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi yang lebih baik kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang, bersama pasukan khidmatnya dan pegawai Bahagian Kejuruteraan Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah mengadakan lawatan ke gelanggang berkenaan pagi Jumaat.
Lawatan itu bertujuan meninjau keadaan kemudahan sedia ada serta meneliti keperluan kerja-kerja naik taraf sebelum pelaksanaan projek.
Pelaksanaan projek tersebut akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan 6 hingga Jalan 10 Krokop, yang secara rasmi menerima penyerahan projek daripada pegawai Bahagian Kejuruteraan MBM.
Penambahbaikan berkenaan dijangka meningkatkan keselesaan dan keselamatan penggunaan gelanggang, selain menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk aktiviti seperti bermain bola keranjang, berjalan kaki dan berjoging.
Usaha itu turut memberi lebih banyak pilihan aktiviti riadah kepada penduduk serta menggalakkan amalan gaya hidup aktif dan sihat, di samping menyediakan ruang rekreasi yang lebih inklusif untuk komuniti pelbagai peringkat umur.