The Bright Side Project Serlah Cara Sarawak Raikan Kepelbagaian
KUCHING: Penganjuran The Bright Side Project mencerminkan pendekatan unik Sarawak dalam menghimpunkan masyarakat pelbagai latar menerusi aktiviti sukan, kesihatan, seni, makanan, hiburan dan kebajikan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, penganjuran kempen tersebut bukan sahaja menyediakan ruang untuk masyarakat beriadah dan berhibur, malah turut membuka peluang kepada pelbagai komuniti serta peniaga untuk bersama-sama menjana manfaat ekonomi dan sosial.
“Seperti yang sering disebut oleh Premier Sarawak, kita bukan sahaja duduk di meja yang sama, makan bersama dan hidup dalam keharmonian, tetapi di sini kita juga dapat melihat semua pihak menjana pendapatan bersama-sama. Inilah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan The Bright Side Project di tHe Spring Shopping Mall, Kuching di sini, pada Jumaat.
Datuk Amar Dr. Sim turut meluangkan masa meninjau beberapa reruai dan zon yang disediakan, selain melihat sendiri penglibatan peniaga serta komuniti dalam kempen berkenaan.
Bertemakan “Find Your Bright Side”, kempen selama 17 hari itu berlangsung dari 9 hingga 25 Oktober 2026 di tHe Spring Kuching, manakala edisi Bintulu berlangsung dari 9 Oktober hingga 1 November 2026.
Kempen tersebut mengetengahkan lima zon utama iaitu The Arena, The Heat, The Cabana, The Playground dan The Furry, dengan pelbagai pengisian termasuk pickleball, aktiviti kecergasan, makanan tempatan, muzik secara langsung, fesyen dan aktiviti keluarga.
Selain itu, aspek kebajikan turut diberi penekanan menerusi kerjasama dengan Society for Cancer Advocacy and Awareness Kuching (SCAN Kuching) dan Sarawak Breast Cancer Support Group (SBCSG) sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah jualan pin Pink It Up! dan tabung sumbangan awam sepanjang Oktober, dengan hasilnya akan disalurkan kepada SCAN Kuching dan SBCSG.
Pada majlis berkenaan, Pengarah Eksekutif The Spring, Datin Christine Ling, turut menyampaikan raket pickleball kepada Datuk Amar Dr. Sim sebelum beliau menyempurnakan pelancaran menerusi perlawanan mesra bersama Duta FRIDAY Pickleball & Skechers Malaysia, Ms. Toi Sui Ee.- EDISI UKAS