Seni, Budaya Satukan Masyarakat Berbilang Kaum Di Limbang
LIMBANG: Seni dan budaya menjadi medium penting menyatukan masyarakat berbilang kaum, memperkukuh toleransi serta menyemai rasa bangga terhadap identiti dan tanah air.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kepelbagaian etnik di Limbang merupakan kekuatan yang perlu terus diraikan dan dipelihara bagi memastikan keharmonian masyarakat kekal utuh.
“Melalui seni dan budaya, kita membina jambatan perpaduan, memperkukuh toleransi dan menyemai rasa bangga terhadap tanah air kita sendiri,” katanya ketika berucap pada Malam Kebudayaan Pesta Hari Bukit Mas 2026, di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Hasbi, persembahan seni dan tarian tradisional pelbagai etnik bukan sekadar mencerminkan kekayaan warisan tempatan, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk saling mengenali, memahami dan menghormati perbezaan budaya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan golongan belia untuk menyertai persatuan, kelab kebudayaan dan aktiviti seni bagi memperluas pengetahuan tentang warisan sendiri serta mengisi masa lapang dengan kegiatan bermanfaat.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan masyarakat supaya membimbing generasi muda, termasuk memantau pengaruh media sosial dan internet, selain bekerjasama membendung gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan masalah disiplin.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Limbang Rozita Kulai, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat, Setiausaha Majlis Daerah Limbang Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta, wakil Pegawai Daerah Limbang Danny David, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Limbang Adison Langgar Injan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Matlamat Pembangunan Mampan Majlis Daerah Limbang Henry Madai, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Majlis Daerah Limbang Halim Mohamad serta Ketua Polis Daerah Limbang Supt. Parum Niot. -EDISI UKAS