150 Penerima Bantuan JKM Sarawak Terima Sumbangan Sempena Hari Lahir Ke-80 TYT
KUCHING: Seramai 150 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menerima sumbangan tunai RM100 seorang berserta hamper sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Hotel Pullman Kuching pada Ahad.
Penerima terdiri daripada 26 lelaki dan 124 wanita, melibatkan golongan warga emas, ibu tunggal serta kanak-kanak.
Sumbangan wang tunai tersebut merupakan sumbangan daripada pihak Astana, manakala hamper disediakan sebagai bantuan iringan kepada penerima.
Majlis Jamuan Teh itu turut menyaksikan acara memotong pulut kuning oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sebagai simbolik kesyukuran sempena sambutan hari lahir beliau.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video khas bertajuk “Bukan Sekadar Seorang Pemimpin” yang mengetengahkan sisi peribadi beliau sebagai ketua keluarga serta pemimpin yang sentiasa dekat di hati rakyat.
Acara diteruskan dengan persembahan tarian “Dirgahayu Kesuma Tuan Yang Terutama” oleh Artis Tari Majlis Seni Sarawak, petikan sape oleh Frederick serta persembahan nyanyian Abang Hafidz, Mieysanisha dan Bob Yusof dengan iringan Star Fourpiece Band.
Suasana santapan kemudiannya diserikan dengan acara nyanyian beramai-ramai bersama para menteri sebelum majlis diakhiri dengan lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku oleh Pancaragam Polis DiRaja Malaysia.
Pada majlis sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab sambutan Dato Sri Julaihi Narawi menyampaikan cenderahati kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, manakala Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyampaikan cenderahati kepada Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah dan anakanda Premier Sarawak Dayang Norjihan.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta tetamu-tetamu jemputan yang lain.-EDISI UKAS