SIBU: Kira-kira 2,000 peserta menyertai Larian Zombie 4.0 di Taman Tasik Permai, di sini, pada Sabtu, dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat menerusi pendekatan rekreasi yang kreatif dan menarik.
Pengerusi penganjur, Willie Ling berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan masyarakat Sibu sentiasa memberikan sokongan terhadap aktiviti komuniti yang mampu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Kami amat gembira melihat kira-kira 2,000 peserta menyertai program ini.
“Sambutan yang menggalakkan ini membuktikan bahawa masyarakat Sibu sentiasa menyokong aktiviti komuniti yang kreatif dan menarik,” katanya semasa berucap.
Menurut Willie, program berkenaan turut mengetengahkan elemen kreativiti menerusi penglibatan peserta yang tampil dengan pelbagai kostum bertemakan zombi.
Ujarnya, penganjuran program itu turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan masyarakat menerusi aktiviti sukan dan rekreasi dalam suasana santai serta menghiburkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing atas sokongan berterusan terhadap program pembangunan komuniti dan belia di Sibu.
Katanya, Larian Zombie diharap dapat terus berkembang sebagai acara rekreasi tahunan ikonik di Sibu, sekali gus membantu mempromosikan bandar itu sebagai destinasi pelancongan berasaskan rekreasi.
Program anjuran Persatuan Perpaduan Sungai Merah Sibu dengan kerjasama Kelab Larian Jalan dan Bukit Sibu itu turut menampilkan larian malam sejauh tiga kilometer mengelilingi Taman Tasik Permai.
Selain larian, peserta turut mengambil bahagian dalam aktiviti solekan zombi percuma, Zombie Zumba dan Pertandingan Kostum Terbaik yang menambahkan kemeriahan acara.
Turut hadir, Kaunselor Aaron Teo yang mewakili Dato Sri Tiong untuk merasmikan acara berkenaan.- EDISI UKAS