Kerjasama Komuniti Penting Bantu Sekolah Tangani Cabaran Reformasi Pendidikan
SIBU: Kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa, alumni dan komuniti setempat perlu diperkasa bagi membantu warga pendidik mendepani cabaran reformasi pendidikan yang semakin kompleks.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing berkata, perubahan berterusan dalam sukatan pelajaran, kaedah pengajaran dan bahan pembelajaran menuntut masa serta kebolehsuaian tinggi daripada guru, sekali gus memerlukan sokongan menyeluruh daripada komuniti pendidikan.
“Berhadapan dengan persekitaran pengajaran yang sentiasa berubah ini, guru-guru perlu mencurahkan lebih banyak masa dan usaha untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pengajaran baharu, di samping membuat penyesuaian mengikut keperluan pembelajaran murid.
“Oleh itu, selain mengiktiraf sumbangan guru, pihak sekolah, ibu bapa dan alumni juga sepatutnya memberikan lebih banyak kefahaman dan sokongan kepada mereka,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Akhbar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Ross Sia Wan Teng pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-110 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua di Hotel Kingwood, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Sri Tiong berkata, cabaran pendidikan dalam era digital bukan sekadar berkaitan akses kepada maklumat, sebaliknya turut melibatkan keupayaan murid menilai kesahihan maklumat secara kritis.
Katanya, sekolah dan keluarga perlu memainkan peranan bersama dalam membentuk generasi yang mampu membezakan perkara benar dan salah, menghormati orang lain serta bertanggungjawab terhadap setiap pilihan yang dibuat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu turut menyeru persatuan alumni supaya memperluas peranan mereka daripada sekadar menganjurkan program pertemuan semula kepada menjadi penghubung aktif antara sekolah, masyarakat dan pelbagai sektor.
“Alumni datang daripada pelbagai bidang, masing-masing mempunyai kepakaran dan kebolehan tersendiri. Bak kata pepatah, yang ada harta menyumbang harta, yang ada tenaga menyumbang tenaga.
“Kita tidak boleh menyerahkan segala tanggungjawab kepada kerajaan dan menganggap pembangunan sekolah harus ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan pihak sekolah sahaja,” tegasnya.
Dato Sri Tiong berkata, penglibatan aktif alumni dan komuniti penting bagi memastikan pembangunan sekolah dapat diperkukuh secara berterusan, selain membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid.
Bagi menyokong pembangunan berterusan serta keperluan kemudahan pendidikan SMK Chung Hua, Ross turut mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM50,000 bagi pihak menteri.
Turut hadir, ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Chung Hua Robert Chew Swee Hiong, Pengerusi Persatuan Alumni Chung Hua Datuk Teo Boon Siew dan Ketua Masyarakat Cina Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming.- EDISI UKAS