Kekuatan Rohani Benteng Umat Islam Hadapi Cabaran Teknologi
KUCHING: Pengukuhan sahsiah dan kekuatan rohani berlandaskan al-Quran serta as-Sunnah perlu menjadi keutamaan dalam usaha membina umat Islam yang mampu menghadapi cabaran teknologi dan gejala sosial masa kini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perkembangan teknologi yang pesat bukan sahaja memberikan manfaat dari segi akses kepada maklumat, malah turut membawa cabaran apabila masyarakat terdedah kepada pelbagai pandangan yang boleh mengelirukan pemahaman akidah.
Menurut beliau, masyarakat perlu merujuk kepada pakar agama dan golongan berilmu bagi memastikan maklumat serta pandangan yang diterima tidak menjejaskan kefahaman terhadap ajaran Islam.
“Perkara yang lebih merosakkan ialah apabila kita dikelirukan dengan pelbagai pandangan. Apabila kita belajar tanpa merujuk kepada pakar atau ustaz, sebaliknya hanya mendengar pelbagai pandangan, perkara ini boleh memesongkan fahaman akidah kita.
“Sebab itu, jika kita melihat zaman Baginda SAW, penekanan selama 13 tahun adalah untuk membina kekuatan dalaman. Di sinilah sebenarnya, jika kita melihat bagaimana kita mahu membina semula umat Islam, kita perlu membina kekuatan dalaman dan kerohanian yang berlandaskan al-Quran serta as-Sunnah Rasulullah SAW,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kerohanian Bina Insan MADANI 3.0 di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, pengukuhan kerohanian perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membina sahsiah yang baik serta menangani pelbagai cabaran sosial yang berlaku dalam masyarakat, termasuk dalam kalangan generasi muda.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya turut melahirkan kebimbangan terhadap isu sosial yang berlaku pada masa kini, termasuk kejadian bunuh diri dalam kalangan golongan muda dan warga emas.
Sehubungan itu, Datuk Amar Fadillah menegaskan usaha membina umat Islam yang menjadi contoh atau khairul ummah seperti yang digariskan dalam al-Quran memerlukan tanggungjawab bersama semua pihak.
Beliau berharap program itu dapat melahirkan pendakwah yang berupaya membimbing masyarakat kembali kepada asas agama, sekali gus memperkukuh kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat berlandaskan nilai Islam.
Dalam program tersebut, turut diadakan adalah peluncuran Buku Pertubuhan MADANI Gemilang dan Risalah Selawat MADANI, Ceramah Subuh Khas sebelum bertemu dengan wakil pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Terdahulu, beliau bersama peserta program dan penduduk setempat berkesempatan menunaikan solat Subuh secara berjemaah. -EDISI UKAS