Penduduk Pusa Diseru Manfaatkan Acara Budaya Tarik Peluang Ekonomi Komuniti
PUSA: Penduduk Pusa digalakkan memanfaatkan acara kebudayaan dan pelancongan seperti Pesta Tanglung serta Regata Tandang Pusa (RTS) untuk memasarkan produk tempatan dan menjana pendapatan, sekali gus memperkenalkan identiti daerah itu kepada lebih ramai pengunjung.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, penduduk boleh memainkan peranan sebagai duta Pusa dengan mengetengahkan keunikan budaya, warisan dan produk tempatan sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
Menurutnya, penyertaan masyarakat dalam aktiviti ekonomi sempena penganjuran acara bukan sahaja dapat menambah pendapatan, malah membantu memperkenalkan potensi daerah itu kepada pengunjung dari luar.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pesta Tanglung Peringkat Beting Maro, di sini pada Ahad.
Shafizan turut menyifatkan Pesta Tanglung sebagai ruang untuk meraikan warisan budaya masyarakat Cina yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Katanya, hubungan masyarakat Melayu, Cina dan Iban yang telah lama terjalin di negeri ini perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati serta kesediaan meraikan perbezaan budaya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shafizan berkata, pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan jambatan penting untuk meningkatkan hubungan antara kawasan luar bandar serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Hadir sama, Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS