Disiplin, Latihan Konsisten Kunci Kejayaan Nur Syakura Di Pentas Antarabangsa
KUCHING: Disiplin, latihan berterusan dan keberkatan daripada guru serta keluarga menjadi antara kunci kejayaan Nur Syakura Mohamad Musa merangkul gelaran Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali Ke-66, 2026.
Nur Syakura berkata, kejayaan itu hadir daripada komitmen untuk menjalani latihan secara konsisten, selain mengekalkan hubungan dengan guru melalui sesi talaqqi bagi memperbaiki mutu bacaan Al-Quran.
Menurutnya, sokongan dan doa ibu bapa, suami serta ahli keluarga turut menjadi sumber kekuatan sepanjang tempoh persediaan menghadapi pertandingan berprestij itu.
“Pertama sekali, kami menerapkan disiplin pada diri untuk konsisten menjalani latihan, bertalaqqi dengan guru dan sentiasa menghargai guru-guru serta ahli keluarga, ibu bapa dan suami yang menjadi sumber kekuatan dan keberkatan, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tiba di Terminal Kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini pada Ahad.
Menyambut ketibaan beliau ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datu Mual Suaud serta tetamu kehormat lain.
Mengulas persediaannya, Nur Syakura berkata, beliau menjalani latihan intensif setiap hari menerusi sesi pagi, petang dan malam sepanjang berada di Kelantan bagi mempersiapkan diri menghadapi pertandingan peringkat antarabangsa.
Katanya, latihan itu dilaksanakan atas inisiatif Pusat Al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS), yang menghantarnya ke Kelantan bagi mengikuti latihan persediaan, termasuk memperkemas format pertandingan dan teknik bacaan.
Beliau turut meneruskan latihan kendiri setiap hari bagi memastikan mutu persembahan bacaan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Mengulas lanjut, katanya, persiapan bagi pertandingan antarabangsa itu diteruskan sejurus selepas beliau menamatkan penyertaan di peringkat kebangsaan pada April lalu sehingga pertandingan antarabangsa pada Oktober.
Dalam pada itu, beliau menyeru qari dan qariah di Sarawak supaya terus memupuk kecintaan terhadap Al-Quran serta menjadikan bidang tilawah sebagai medium dakwah kepada masyarakat.
“Untuk para qari dan qariah di Sarawak khususnya, kita sama-sama cuba menjadi generasi yang mencintai Al-Quran. Bidang tilawah ini adalah salah satu dakwah kita kepada masyarakat, khususnya di Sarawak,” katanya lagi. -EDISI UKAS