Belanjawan Sarawak 2027 Jadi Tumpuan Utama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Ke-19
KUCHING: Pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 menjadi tumpuan utama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang membuka tirainya pada Isnin, sekali gus memperlihatkan hala tuju perbelanjaan dan keutamaan pembangunan negeri bagi tahun hadapan.
Persidangan selama lapan hari hingga 21 Oktober itu turut menyaksikan empat Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan dijadualkan dibentangkan, merangkumi dua RUU perbekalan dan dua RUU pindaan undang-undang sedia ada tanpa pengenalan RUU baharu.
Persidangan yang bermula pada jam 9 pagi itu didahului dengan bacaan doa, diikuti sesi bertafakur bagi memperingati bekas Speaker DUN Sarawak, Datuk Song Swee Guan serta lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas di Long Lellang pada 8 September lalu.
Antara agenda utama ialah pembentangan RUU Perbekalan (2027) 2026 oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dengan bacaan pertama dan kedua dijadualkan pada Isnin, manakala bacaan ketiga pada 21 Oktober.
Sementara itu, RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dua lagi RUU ialah RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 yang akan dibentangkan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn serta RUU Hari Kelepasan Umum (Pindaan) 2026 oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 336 soalan lisan dan bertulis dikemukakan oleh 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk dijawab sepanjang persidangan kali ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 264 soalan lisan dikemukakan oleh 37 ADUN, manakala 72 soalan bertulis melibatkan 13 ADUN.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mencatatkan jumlah pertanyaan tertinggi dengan 36 soalan.
Persidangan kali ini turut menjadi platform penting kepada wakil rakyat untuk meneliti perancangan perbelanjaan negeri, membahaskan pindaan undang-undang serta mengetengahkan isu pembangunan dan kebajikan rakyat.
Tumpuan khusus terhadap Belanjawan Sarawak 2027 dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai keutamaan pembangunan, pengukuhan ekonomi dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak pada tahun hadapan.-EDISI UKAS