SSWFF RM8 Bilion Simpanan Strategik Sarawak Untuk Generasi Akan Datang
SIBU: Peruntukan RM8 bilion Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak (SSWFF) mencerminkan pendekatan jangka panjang Kerajaan Sarawak dalam memelihara kekayaan negeri supaya manfaatnya dapat dinikmati generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kevin Lau berkata, penubuhan dana itu merupakan langkah strategik membina simpanan kewangan negeri melalui pelaburan, dengan pengeluaran tertakluk kepada ketetapan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kerajaan Sarawak bukan sahaja memikirkan pembangunan hari ini, tetapi turut merancang untuk tempoh 20 tahun akan datang supaya kekayaan negeri dapat dipelihara dan dikembangkan demi kepentingan generasi muda.
“Inilah pentingnya mempunyai visi yang jauh ke hadapan, kerana pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada keperluan jangka pendek,” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Jenau Segai, di sini pada Ahad.
Menurut Kevin, perancangan jangka panjang itu perlu bergerak seiring dengan pembangunan menyeluruh yang merangkumi penyediaan infrastruktur, pengukuhan ekonomi dan pendidikan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menyentuh permasalahan penduduk, beliau memaklumkan bahawa masalah bekalan air di Rumah Jenau telah diselesaikan menerusi pembinaan sistem loji rawatan air di kawasan Sungai Sadit oleh Kerajaan Sarawak.
“Manakala usaha sama di Rantau Panjang turut dilaksanakan bagi menangani masalah bekalan air di kawasan berkenaan, dengan sistem rawatan air di situ dijangka membantu menyelesaikan isu berkenaan apabila siap kelak,” katanya lagi.
Mengulas permohonan Tuai Rumah Jenau berhubung keadaan titian yang semakin uzur serta sistem perparitan setempat, Kevin berkata beliau akan membantu mengemukakan permohonan kepada MDLBS bagi mendapatkan peruntukan untuk menaik taraf titian di rumah panjang berkenaan. -EDISI UKAS