KUCHING: Hasil Kerajaan Sarawak bagi 2026 diunjur meningkat kepada RM13.571 bilion, iaitu RM552 juta atau empat peratus lebih tinggi daripada anggaran asal RM13.049 bilion, susulan peningkatan geran khas daripada Kerajaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sehingga September 2026, kutipan hasil negeri mencecah RM10.732 bilion, bersamaan 82 peratus daripada sasaran hasil tahunan.
“Berdasarkan trend semasa, kita kini mengunjurkan jumlah hasil bagi 2026 mencecah RM13.571 bilion, iaitu peningkatan RM552 juta atau empat peratus melebihi anggaran asal RM13.049 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 bagi Bacaan Kali Kedua pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, peningkatan unjuran hasil itu didorong terutamanya oleh semakan semula geran khas daripada Kerajaan Persekutuan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion, berkuat kuasa tahun ini.
“Penyumbang utama kepada peningkatan ini ialah semakan semula geran khas daripada Kerajaan Persekutuan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion iaitu peningkatan RM900 juta,” ujar beliau lagi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru mendedahkan, tiga penyumbang utama hasil negeri sehingga September ialah Cukai Jualan Negeri berjumlah RM3.941 bilion, khususnya daripada produk petroleum dan minyak sawit mentah, diikuti pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas sebanyak RM2.334 bilion serta pendapatan dividen sebanyak RM2.147 bilion.
Sementara itu, perbelanjaan mengurus bagi 2026 disemak meningkat kepada RM14.348 bilion daripada anggaran asal RM12.905 bilion, iaitu pertambahan RM1.443 bilion atau 11.2 peratus.
Sehingga September, sebanyak RM9.434 bilion atau 66 peratus daripada peruntukan perbelanjaan mengurus telah dibelanjakan, merangkumi RM3.959 bilion bagi perbelanjaan operasi dan RM5.475 bilion untuk Kumpulan Wang Berkanun.
Bagi perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM5.604 bilion atau 58 peratus daripada peruntukan RM9.663 bilion telah dibelanjakan dalam tempoh yang sama.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, perbelanjaan pembangunan dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun apabila pelaksanaan projek semakin rancak.
“Dengan projek pembangunan yang semakin mendapat momentum dan pelaksanaannya dipergiatkan, perbelanjaan dijangka meningkat lagi menjelang akhir tahun,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS