KUCHING: Sarawak merancang melancarkan nanosatelit pertama negeri ini menjelang 2030 menggunakan teknologi CubeSat sebagai langkah memperkukuh pembangunan sektor angkasa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi kajian Pelan Induk Pembangunan Angkasa dan Aeroangkasa Sarawak.
“Kerajaan akan melaksanakan kajian Pelan Induk Pembangunan Angkasa dan Aeroangkasa yang akan membimbing strategi jangka panjang negeri dalam sektor perintis ini,"katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, Agensi Angkasa Sarawak (SSA) akan menerajui pembangunan sektor berkenaan, termasuk menyelaras penyelidikan dan memperkukuh kerjasama industri.
Selain itu katanya, kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM42 juta bagi pembangunan awal kampus utama Kolej Universiti i-CATS di Trombol.
Tambah beliau, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) juga memperkukuh latihan aeroangkasa menerusi Akademi Aeroangkasa dan kerjasama dalam bidang penerbangan serta kejuruteraan.
Kerjasama i-CATS, CENTEXS dan SSA dijangka memperkukuh ekosistem aeroangkasa negeri serta menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.-EDISI UKAS