KUCHING: Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Perubatan Borneo Global MediTourism Congress & Expo (BGMT) disasar menjadi platform pengiktirafan tahunan bertaraf antarabangsa bagi memacu kecemerlangan industri pelancongan perubatan serta memperkukuh kedudukan Sarawak dan Borneo di peringkat global.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran anugerah itu merupakan langkah penting dalam menghargai sumbangan individu dan organisasi, selain menggalakkan inovasi serta peningkatan standard perkhidmatan kesihatan.
“Harapan saya agar anugerah ini menjadi platform pengiktirafan tahunan bagi industri pelancongan perubatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alu-aluan dan Anugerah BGMT 2026 di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar penghargaan kepada penerima, malah diharap menjadi penanda aras kecemerlangan yang mendorong pemain industri meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperkukuh kerjasama strategik.
Mengulas perkembangan industri itu, beliau mendedahkan jumlah pelancong kesihatan ke Sarawak menunjukkan peningkatan ketara daripada 64,393 orang pada 2023 kepada 76,796 orang pada 2024, sebelum melonjak kepada 104,106 orang pada 2025.
Katanya, pertumbuhan itu mencerminkan perkembangan positif industri pelancongan perubatan negeri, namun perlu disusuli usaha berterusan meningkatkan mutu penjagaan kesihatan, pengalaman pesakit, penggunaan teknologi dan hospitaliti.
Beliau menegaskan, pelancongan perubatan merupakan ekosistem yang merangkumi pelbagai sektor, dengan setiap pihak memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan pesakit serta memperkukuh reputasi Sarawak sebagai destinasi penjagaan kesihatan.
Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran anugerah berkenaan terus berkembang dengan penyertaan lebih banyak kategori, calon dan negara pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah serta merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) dan Orbitel atas usaha menjayakan penganjuran edisi sulung berkenaan.
Anugerah BGMT 2026 menyaksikan enam pengiktirafan diberikan kepada penerima yang diumumkan, antaranya Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Dr Kenny Yeap Kim Pey, Innoquest Pathology, Sarawak Media Group (TVS), Datuk Dr Kuljit Singh dan AirBorneo.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak I (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak II (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak II (Kesihatan Awam dan Perumahan), Datuk Michael Tiang Ming Tee, Senator Dewan Negara, Senator Robert Lau Hui Yew, Presiden STF, Audry Wan Ullok, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Dato Dr Ahmad Hata Rasit, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Julin Alen, serta Ketua Pengalaman Pelanggan AirBorneo, Azman Ahmad.-Edisi UKAS