Hasil Pelancongan Perubatan Sarawak Cecah RM109.9 Juta Separuh Pertama 2026
KUCHING: Sarawak merekodkan hasil pelancongan perubatan sebanyak RM109.9 juta pada separuh pertama 2026, meningkat 21 peratus berbanding RM90.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah pelawat kesihatan turut meningkat kepada 48,480 orang berbanding 46,793 orang dalam tempoh yang sama pada 2025.
“Ini menunjukkan sesuatu yang penting, sementara bilangan pelancong kesihatan terus meningkat, hasil pendapatan pula berkembang pada kadar yang lebih pantas.
“Hal ini mendorong kita untuk meneliti bagaimana Sarawak boleh memperkukuh lagi nilai perkhidmatan kesihatannya, meningkatkan pengalaman pesakit, serta menarik lebih ramai pesakit antarabangsa yang mencari rawatan perubatan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada Majlis Pelancaran Kongres dan Ekspo Pelancongan Perubatan Global Borneo 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Isnin.
Menurut Dato Sri Abdul Karim lagi, pelancongan perubatan bukan sahaja membuka peluang dalam sektor kesihatan, malah turut memberi manfaat kepada industri perhotelan, pengangkutan, makanan dan pelancongan melalui perbelanjaan pesakit serta ahli keluarga yang menemani mereka.
Sehubungan itu, katanya, pembangunan ekosistem yang menyeluruh penting bagi memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan perubatan, termasuk melalui peningkatan infrastruktur kesihatan, kemudahan hospitaliti dan kesalinghubungan.
Dalam pada itu katanya, Kuching kini mempunyai lima hospital swasta, manakala tiga lagi hospital swasta sedang dibangunkan untuk memasuki pasaran dengan keseluruhan pembangunan baharu itu mewakili kira-kira RM1.45 bilion pelaburan swasta yang telah dikomitmenkan dalam sektor kesihatan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Micheal Tiang Ming Tee serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Nur Nabilla & Mhmd Naseem