Belanjawan 2027 Perkasa Penjawat Awam, PANS Hargai Komitmen Premier Sarawak
KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak (PANS) menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 yang memberi penekanan terhadap pemerkasaan institusi, pembangunan kompetensi serta kebajikan penjawat awam negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, beliau mewakili seluruh warga PANS merakamkan penghargaan atas komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh keupayaan dan profesionalisme penjawat awam bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kami amat menghargai usaha dan kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh keupayaan, profesionalisme dan kebajikan penjawat awam, khususnya menerusi Teras Strategik Kesembilan, iaitu Institutionalising High-Performance Government and Fiscal Resilience,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.
Beliau menambah, antara inisiatif utama yang disambut baik ialah peruntukan RM25 juta kepada Leadership Institute Sarawak Civil Service (LISCS) bagi memperkukuh pembangunan kepimpinan dan kompetensi penjawat awam.
Selain itu jelas beliau, sebanyak RM2.38 juta diperuntukkan bagi kajian pembangunan Ekosistem Transformasi dan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak.
"Kedua-dua inisiatif berkenaan merupakan langkah strategik ke arah memperkukuh PANS sebagai institusi berprestasi tinggi, inovatif dan berkeupayaan memenuhi tuntutan pentadbiran serta keperluan rakyat yang semakin kompleks," jelasnya.
Dalam aspek kebajikan dan prasarana, beliau turut menyambut baik peruntukan RM347 juta bagi pembinaan dan penaiktarafan pejabat kerajaan serta kemudahan kediaman penjawat awam di seluruh Sarawak.
Katanya, inisiatif itu akan menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan di bandar dan luar bandar.
Sementara itu jelasnya, peruntukan RM24 juta bagi pelaksanaan 65 projek digital perkhidmatan Kerajaan Sarawak dilihat mampu mempercepat transformasi pendigitalan sektor awam, selaras dengan sasaran 80 peratus perkhidmatan kerajaan didigitalkan menjelang 2027 dan 100 peratus menjelang 2030.
“Usaha ini bukan sahaja akan memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan secara digital, malah memperkukuh integrasi sistem dan perkongsian maklumat yang selamat antara agensi bagi membolehkan perkhidmatan disampaikan dengan lebih cekap, mudah dan lancar,” jelasnya.
Beliau turut mengalu-alukan perluasan akses kepada kelayakan profesional bertaraf antarabangsa melalui Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE), termasuk Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan Certified Internal Auditor (CIA).
Menurutnya, peluang tersebut akan meningkatkan kepakaran penjawat awam dalam pengurusan kewangan, pengauditan dan tadbir urus, sekali gus memperkukuh integriti serta akauntabiliti pengurusan sumber awam.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menyifatkan keseluruhan inisiatif berkenaan sebagai manifestasi keyakinan Kerajaan Sarawak terhadap keupayaan PANS menggalas tanggungjawab lebih besar dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan ini amat kami hargai dan sudah pasti menjadi suntikan semangat kepada seluruh warga Perkhidmatan Awam Sarawak untuk terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga PANS memperkukuh iltizam, meningkatkan kompetensi serta membudayakan integriti, inovasi dan kecemerlangan dalam melaksanakan amanah.
“Kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan Kerajaan Sarawak menuntut kita untuk memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum serta setiap dasar, program dan inisiatif yang dirancang dilaksanakan dengan disiplin yang tinggi agar hasilnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat di seluruh Sarawak,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan komitmen PANS untuk memastikan segala perancangan di bawah Belanjawan Sarawak 2027 dilaksanakan dengan berkesan demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS