Sarawak Peruntuk RM85.9 Juta Bangunkan Tarikan Pelancongan Baharu
KUCHING: Sarawak memperuntukkan RM85.9 juta bagi membangunkan dan menaik taraf kemudahan pelancongan di seluruh negeri, dengan sasaran menarik 5.1 juta pelawat serta menjana hasil pelancongan RM14 bilion pada 2027.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sektor pelancongan, warisan dan kreatif penting dalam memperkenalkan identiti unik Sarawak serta menjana pendapatan kepada ekonomi tempatan.
“Pelancongan, warisan dan sektor kreatif kekal sebagai pemangkin penting dalam menyerlahkan identiti unik Sarawak, di samping menjana pulangan ekonomi bernilai tinggi kepada industri hospitaliti, pengangkutan dan ekonomi kreatif tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, daripada jumlah itu, sebanyak RM70 juta diperuntukkan untuk mengubah suai Bangunan DUN Lama di Kuching menjadi Pusat Seni Persembahan Negeri, manakala RM5 juta disediakan bagi membangunkan semula Kolam Renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sebagai taman permainan air dan Pusat Bandar Kreatif Gastronomi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO).
Selain itu ujar beliau, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3.3 juta untuk tarikan pelancongan paya bakau Sadong Jaya, RM3 juta bagi Muzium dan Taman Lombong Emas Bau serta RM3 juta untuk pembinaan Pusat Kraf Sarawak.
Tambahnya lagi, Kuching Waterfront juga akan diperbaharui dan Brooke Dockyard bakal dijadikan Muzium Warisan Industri.
Bagi mempromosikan Sarawak dan menarik acara antarabangsa pula, Datuk Patinggi Abang Zohari memaklumkan bahawa sebanyak RM45 juta diperuntukkan kepada Lembaga Pelancongan Sarawak, manakala RM39 juta disalurkan kepada Business Events Sarawak.
Jelasnya lanjut, sebanyak RM14 juta turut diperuntukkan kepada Majlis Seni Sarawak dan RM8 juta kepada Sarawak Craft Council untuk mengembangkan seni persembahan serta membantu pengusaha kraf tempatan memasarkan hasil mereka.
Usaha ini bertujuan menjadikan Sarawak lebih menarik kepada pelawat, memelihara warisan negeri dan membuka peluang pendapatan kepada masyarakat tempatan.-EDISI UKAS