SALCRA Disaran Terokai Potensi Sisa Kelapa Sawit Hasilkan SAF
KUCHING: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dicadang meneroka potensi penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF) berasaskan sisa kelapa sawit sebagai bidang baharu yang mampu memperluas sumber pendapatan dan aktiviti ekonominya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan tersebut wajar dikaji dengan melihat potensi menggabungkan hasil sampingan kelapa sawit dengan hidrokarbon bagi menghasilkan produk bahan api penerbangan baharu.
Menurut beliau, sisa kelapa sawit mempunyai potensi besar untuk dikembangkan kepada produk bernilai tinggi, selain membuka peluang kepada SALCRA meneroka industri hiliran berasaskan teknologi.
“Dalam hubungan ini, sisa-sisa kelapa sawit mempunyai banyak peluang untuk menjadi satu perusahaan.
“Sebab itu, mengapa kita tidak melihat dengan lebih luas perniagaan SALCRA? Pertamanya, memanglah baja, keduanya biojisim dan juga banyak sisa-sisa yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Golden Jubilee Gala Dinner sempena sambutan ulang tahun ke-50 SALCRA di Imperial Hotel, Kuching pada Isnin.
Mengulas lanjut, Premier Srawak berkata antara potensi yang boleh dikaji ialah penggunaan fatty acid yang terhasil daripada kelapa sawit untuk digabungkan dengan hidrokarbon dalam menghasilkan bahan api penerbangan.
Jelasnya, sekiranya kajian dan teknologi berkenaan berjaya dibangunkan, ia berpotensi mentransformasikan keseluruhan landskap perniagaan SALCRA.
“Ini hanya satu cadangan dan perlu dibuat penyelidikan, tetapi sekiranya berjaya, ia boleh mentransformasikan keseluruhan perniagaan SALCRA,” katanya.
Jelasnya lagi, penerokaan industri baharu itu selaras dengan usaha Sarawak meningkatkan nilai tambah sumber sedia ada serta bergerak ke arah ekonomi moden dan berasaskan teknologi.
Malah, beliau membayangkan potensi SALCRA menjadi antara pemain baharu dalam rantaian industri bahan api penerbangan sekiranya teknologi berkenaan berjaya direalisasikan.
“Bayangkanlah kalau kita berjaya dalam apa yang disebut sebagai hybrid aviation fuel, SALCRA mungkin menjadi seperti Aramco di Sarawak,” katanya lagi.
Menurut beliau, kejayaan meneroka bidang tersebut bukan sahaja memberi nilai tambah kepada industri kelapa sawit, malah berpotensi mewujudkan sumber ekonomi baharu untuk Sarawak.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS