1,059 Permohonan Jawatan KMKK Seluruh Sarawak Dalam Penilaian
KUCHING: Sebanyak 1,059 permohonan pewujudan jawatan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di seluruh Sarawak kini sedang melalui proses penilaian dan penelitian lanjut, termasuk beberapa permohonan melibatkan kawasan di Daerah Lundu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, berkata permohonan berkenaan akan dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan selepas penelitian berdasarkan keperluan serta syarat-syarat umum pewujudan jawatan baharu KMKK.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Katanya, perkembangan itu turut melibatkan permohonan jawatan baharu Ketua Masyarakat (Penghulu) bagi Zon Melayu Sematan yang dikemukakan melalui Pejabat Daerah Lundu pada 2021 berikutan jumlah kampung di bawah seliaan Penghulu sedia ada yang banyak.
Setakat ini, sebanyak 7,710 jawatan KMKK rasmi terdapat di seluruh Sarawak, merangkumi 671 jawatan Ketua Masyarakat dan 7,039 jawatan Ketua Kaum.
Daripada jumlah tersebut, 641 jawatan KMKK berada di Bahagian Kuching, termasuk 129 jawatan di Daerah Lundu.
Menurut Datuk Jefferson, pertambahan bilangan penduduk, penempatan dan keluasan bidang kuasa antara kriteria yang diambil kira dalam menentukan keperluan pewujudan jawatan baharu KMKK, selain faktor-faktor lain yang berkaitan.
Bagi jawatan Penghulu, pewujudannya ditetapkan berdasarkan pembahagian kawasan pentadbiran atau zon tertentu yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Melantik (PBM), dengan mengambil kira minimum 20 orang Tuai Rumah bagi kaum Iban, dua orang Ketua Kaum bagi kaum-kaum lain, atau 500 pintu atau 2,000 penduduk.
Bagi jawatan Ketua Kaum, sesebuah bidang kuasa kampung, rumah panjang atau kawasan penempatan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 20 buah pintu atau rumah.-EDISI UKAS