Pembinaan Jalan Ladang Projek Jelapang Padi Lingga/Banting Dijangka Disambung Semula Pada 2028
KUCHING: Kerja-kerja fizikal pembinaan jalan ladang sepanjang 12.70 kilometer di bawah Projek Pembangunan Infrastruktur Pengairan dan Saliran Jelapang Padi Lingga/Banting, Bahagian Sri Aman dijangka disambung semula pada 2028.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek Fasa 1 (Blok C dan D) itu telah mencapai kemajuan pembinaan jalan ladang sebanyak 70.73 peratus sebelum kerja-kerja fizikal dihentikan sementara berikutan penamatan kontrak asal.
"Beberapa struktur utama projek, termasuk lokasi ambang empangan dan jajaran jalan ladang, telah diubah suai.
"Perubahan tersebut memerlukan reka bentuk semula secara menyeluruh serta proses pengambilan tanah yang baharu dengan proses pengambilan tanah bermula pada 2025 dan selesai pada awal tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambahnya, projek berkenaan kini berada pada peringkat pelantikan perunding baharu bagi melaksanakan semakan reka bentuk dan kerja-kerja reka bentuk semula yang diperlukan.
Ujarnya, penilaian tender bagi pelantikan perunding sedang dijalankan, manakala pelantikan rasmi dijadualkan pada awal 2027.
Datuk Dr Abdul Rahman memberitahu, projek jalan ladang ini dijadualkan siap pada tahun 2030 dengan ia dijangkakan bukan sahaja memberi manfaat kepada 124 petani padi yang berdaftar malah kepada komuniti yang tinggal berhampiran jalan tersebut. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini