Permohonan Pembinaan Stesen Minyak Di Tanah Jikang, Julau Diluluskan
KUCHING: Permohonan pembinaan stesen minyak di atas sebahagian Lot 480, Blok 3, Daerah Tanah Jikang, Julau telah diluluskan dengan tempoh pegangan tanah secara pajakan selama 60 tahun dari tarikh pendaftaran surat hak milik tanah berkenaan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, tempoh pegangan tanah secara pajakan adalah selama 60 tahun dari tarikh pendaftaran surat hak milik tanah berkenaan.
Menurutnya, syarat-syarat hak milik tanah yang akan dikenakan kepada pemohon adalah di mana tanah hanya boleh digunakan untuk tujuan stesen minyak.
"Pembinaan stesen minyak hendaklah disiapkan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh surat hak milik didaftarkan, mengikut pelan dan spesifikasi yang diluluskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin, dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambahnya, pindah milik tanah dan pajakan kecil tidak dibenarkan tanpa kebenaran daripada Pengarah Tanah dan Survei Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini