SALCRA Terima Kelulusan Prinsip Pemilikan 5,000 Hektar Tanah Bagi Jana Sumber Pendapatan Baharu
KUCHING: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) bakal memperluas kegiatan ekonominya menerusi kelulusan secara prinsip bagi pemberian 5,000 hektar tanah untuk membangunkan sumber pendapatan baharu, sekali gus menjamin kemampanan kewangan organisasi itu dalam jangka panjang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Pengerusi SALCRA, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata kelulusan tersebut merupakan langkah penting dalam menyokong agenda transformasi Perusahaan Milik Kerajaan Negeri (SOE) Sarawak.
“Hala tuju kita jelas. SALCRA mesti menjadi lebih kukuh, cekap dan semakin berdikari dari segi kewangan.
“SALCRA tidak boleh terus bergantung kepada sumber pendapatan tradisional. Kita perlu mempelbagaikan sumber hasil, meningkatkan keuntungan dan meneroka perniagaan baharu berdasarkan kepakaran sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas SALCRA sempena sambutan ulang tahun ke-50 bertemakan Sow, Grow, Prosper di Hotel Imperial, Kuching pada Isnin.
Majlis tersebut turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dato Sri Dr Stephen Rundi menjelaskan, Pelan Transformasi SALCRA 2026–2030 yang dirangka susulan Kajian Korporat SALCRA pada 2024 turut sejajar dengan Pelan Hala Tuju Transformasi SOE Sarawak 2026–2030.
Katanya, antara bidang berpotensi diterokai termasuk tenaga hijau dan boleh diperbaharui, pengeluaran baja bio dan organik, aktiviti berkaitan keselamatan makanan serta industri hiliran kelapa sawit.
Selain itu, kepakaran SALCRA dalam pengurusan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), perladangan dan kilang turut berpotensi dikomersialkan menerusi perkhidmatan perundingan, pengurusan serta khidmat teknikal.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, sepanjang lima dekad penubuhannya, SALCRA telah membangunkan kira-kira 55,000 hektar ladang kelapa sawit yang memberi manfaat kepada lebih 22,000 keluarga dari lebih 400 kampung dan rumah panjang di Sarawak.
Sejak 1985, SALCRA juga telah mengagihkan hampir RM1.2 bilion hasil bersih atau dividen kepada peserta skim pembangunan tanahnya.
Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan peranan SALCRA bukan sahaja dalam membangunkan tanah pertanian, malah meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar melalui peluang pekerjaan, pendapatan dan pembangunan infrastruktur.
Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran logo korporat baharu SALCRA serta penamaan semula Wisma SALCRA kepada Menara Alfred Jabu sebagai penghargaan terhadap sumbangan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Anak Numpang dalam penubuhan dan pembangunan organisasi berkenaan.
Penamaan semula itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak pada 24 September 2026.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak serta tetamu kehormat lain.-EDISI UKAS