Majlis Pendidikan Sarawak Akan Ditubuhkan, Penuhi Keperluan Industri Strategik Negeri
KUCHING: Sarawak bakal menubuhkan Majlis Pendidikan Sarawak sebagai platform strategik untuk menyelaras dasar dan program pendidikan negeri, sekali gus memastikan pembangunan bakat tempatan memenuhi keperluan industri strategik yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, majlis berkenaan akan menyelaraskan pendidikan menengah, pembangunan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), latihan perguruan serta pendidikan tertiari bagi memastikan pembangunan bakat dilaksanakan secara lebih terarah dan memenuhi keperluan industri strategik negeri.
“Majlis itu akan memastikan keutamaan dan aspirasi Sarawak kekal sebagai teras sistem pendidikan kita,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 bagi Bacaan Kali Kedua pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Katanya, perkara ini amat penting memandangkan pendidikan merupakan asas kepada masa depan Sarawak yang memerlukan pendekatan yang lebih terselaras bagi memastikan sistem pendidikan negeri mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi semasa dan akan datang.
“Ia juga akan memudah cara pembangunan pendidikan antarabangsa dan tertiari, sekali gus memperkukuh daya tarikan Sarawak sebagai hab pendidikan serantau serta menarik pelajar dan tenaga berbakat dari luar negeri dan negara,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini & Muhammad Rais Sanusi