Sembilan Projek Utama Dirancang Pacu Pembangunan Meradong
KUCHING: Sebanyak sembilan projek pembangunan utama dirancang di Meradong bagi memperkukuh kemudahan kesihatan, infrastruktur asas, jaringan jalan raya serta prasarana awam demi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, antara projek yang diberi perhatian ialah pembinaan Pusat Hemodialisis di Sungai Tulai serta naik taraf paip bekalan air ke Bandar Bintangor dan Sungai Mador.
Menurut beliau, kesemua projek berkenaan kini berada pada peringkat reka bentuk dan tender sebagai sebahagian daripada usaha mempercepat pembangunan kawasan itu.
“Projek-projek ini bukan sekadar infrastruktur fizikal. Ia merupakan pelaburan terhadap kesejahteraan rakyat, daya hidup ekonomi tempatan dan potensi pembangunan jangka panjang Meradong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Antara projek lain yang dirancang ialah pembinaan Kolam Renang Bintangor, Dewan Bandar Bintangor, jambatan konkrit bertetulang yang menghubungkan Jalan Muhibah dengan Kampung Rancak serta pembangunan Bintangor Waterfront dan Anjung Usahawan Meradong.
Perancangan itu turut merangkumi pembinaan jalan alternatif menghubungkan Jalan Kilang dengan Jalan Genting serta naik taraf Taman Rekreasi Bintangor.
Dalam pada itu, Datuk Ding turut mengetengahkan beberapa cadangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk pembinaan 55 unit Rumah Spektra Permata, Jalan Kedua (Second Trunk Road), Jalan Pasi–Bintangor dan Jalan Pasi–Pan Borneo.
Katanya, penambahbaikan jaringan jalan raya penting bagi meningkatkan kesalinghubungan, melancarkan pengangkutan hasil pertanian serta memudahkan akses penduduk kepada kemudahan pendidikan dan kesihatan.
Mengulas pencapaian pembangunan Meradong bagi tempoh 2022 hingga 2026, beliau memaklumkan sebanyak RM25 juta diperuntukkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pelaksanaan 296 projek, manakala RM9.57 juta disalurkan melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan Meradong perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara saksama oleh masyarakat bandar, luar bandar serta penduduk rumah panjang.-EDISI UKAS