Perpaduan Kaum dan Keharmonian Agama Teras Agenda Pembangunan Sarawak Menjelang PCDS 2030
Pendahuluan
Perpaduan kaum dan keharmonian agama merupakan antara asas terpenting dalam memastikan agenda transformasi Sarawak di bawah Post Covid-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030) dapat dilaksanakan secara inklusif dan berterusan.
Sarawak yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, etnik, budaya dan agama memerlukan suasana sosial yang stabil supaya pembangunan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat dapat berkembang secara seimbang.
Dalam konteks ini, komitmen Kerajaan Sarawak terhadap keharmonian agama dapat dilihat melalui peranan Unit For Other Religions (UNIFOR).
Peruntukan UNIFOR
Kerajaan Sarawak terus menyediakan peruntukan bagi menyokong pembangunan rumah ibadat bukan Islam serta sekolah mubaligh.
Bagi tahun 2026, peruntukan UNIFOR berjumlah RM120 juta, iaitu peningkatan RM10 juta berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, RM90 juta diperuntukkan bagi pembinaan, naik taraf dan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam, manakala RM30 juta disalurkan kepada sekolah mubaligh.
Secara keseluruhannya, bagi tempoh 2017 hingga 2026, Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak RM685 juta menerusi UNIFOR, merangkumi RM565 juta untuk rumah ibadat dan RM120 juta bagi sekolah mubaligh.
Pendekatan Sarawak
Peruntukan ini bukan sekadar membiayai pembangunan fizikal, tetapi mencerminkan pendekatan Sarawak dalam mewujudkan ruang yang membolehkan masyarakat pelbagai agama mengamalkan kepercayaan masing-masing dalam keadaan selesa dan harmoni.
Pendekatan tersebut mempunyai kaitan langsung dengan agenda pembangunan negeri. Keharmonian agama dan perpaduan sosial mewujudkan persekitaran yang lebih stabil untuk aktiviti ekonomi dan kehidupan masyarakat.
Dalam keadaan hubungan antara komuniti dipelihara, tumpuan dapat diberikan kepada peningkatan produktiviti, pendidikan, inovasi, pelaburan dan penciptaan pekerjaan.
Pada masa yang sama, tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti menjadi penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat diagihkan secara lebih adil.
Perpaduan modal sosial
Perpaduan juga perlu dilihat sebagai modal sosial Sarawak. Hubungan yang baik antara komuniti membolehkan masyarakat bekerjasama merentasi perbezaan etnik dan agama untuk menyelesaikan masalah bersama.
Semangat ini amat penting dalam menghadapi cabaran baharu seperti perubahan struktur ekonomi, kemajuan teknologi, pendigitalan, perubahan iklim dan persaingan mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Dalam kerangka PCDS 2030, anak Sarawak mempunyai peranan yang tidak kurang penting. Generasi muda perlu memanfaatkan peluang pendidikan dan latihan kemahiran, termasuk bidang teknikal, digital, TVET, keusahawanan serta ekonomi baharu.
Mereka bukan sekadar penerima manfaat pembangunan, tetapi merupakan modal insan yang akan menentukan kesinambungan transformasi Sarawak.
Pada masa yang sama, pembangunan yang inklusif menuntut agar peluang pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan peningkatan taraf hidup terbuka kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.
Prinsip bahawa tiada golongan yang tercicir perlu menjadi sebahagian daripada ukuran kejayaan pembangunan Sarawak.
Prinsip keterangkuman sosial
Pendekatan UNIFOR bukan tertumpu kepada satu agama atau kelompok etnik tertentu, tetapi berasaskan prinsip keterangkuman sosial dan keharmonian antara agama.
Di Sarawak, enam komuniti agama utama yang mendapat manfaat daripada bantuan UNIFOR terdiri dari Kristian (termasuk gereja pelbagai denominasi), Buddha (termasuk kuil Buddha), Tao (termasuk to kong Tao), Hindu (termasuk kuil Hindu), Sikh (termasuk gurdwara) dan Baha’i (komuniti dan rumah ibadat berkaitan agama Baha’i).
Dalam satu majlis apresiasi UNIFOR yang diadakan pada 2025, wakil keenam-enam komuniti ini telah dimasyurkan sebagai pemegang taruh antara agama, justeru menggambarkan kerjasama mereka sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan perpaduan dan muhibah.
Pada satu majlis penyampaian RM250,000 kepada Sarawak Full Gospel Church Bintulu pada 2025, pihak Kerajaan telah menyatakan sumbangan itu bertujuan membantu peningkatan kemudahan serta peranan gereja dalam memenuhi keperluan kerohanian dan sosial masyarakat.
Pada Ogos 2026 pula, Lian Hua San San Ching Temple di Miri menerima RM400,000 bagi kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan. Bantuan tersebut dikaitkan dengan usaha memastikan rumah ibadat kekal selamat, selesa dan dapat berfungsi sebagai ruang komuniti.
Respons Positif
Dalam satu sesi libat urus UNIFOR bersama Federation of Buddhist Associations Sarawak dan Federation of Sarawak Temple Associations pada April 2026, pemimpin kuil dan wakil komuniti berbincang secara langsung mengenai keperluan, cabaran serta pengurusan rumah ibadat.
Ini menunjukkan hubungan tersebut bukan sekadar menerima dana, tetapi turut melibatkan dialog dan kerjasama dengan pihak Kerajaan.
Dalam kes Borneo Evangelical Mission (BEM) Trinity Hub Church, peruntukan RM120,000 digunakan untuk menaik taraf kemudahan ibadat, keselesaan dan aksesibiliti jemaah serta aktiviti kemasyarakatan.
Seperkara yang menarik ialah UNIFOR kini bergerak daripada pendekatan “bantuan kewangan” kepada pendekatan “hubungan antara agama” melalui program Friendly Houses of Worship (yang diakronimkan sebagai Friendly HOW) yang menghimpunkan wakil Kristian, Buddha, Tao, Hindu, Sikh dan Baha’i menyediakan platform untuk membolehkan UNIFOR mendengar secara langsung keperluan komuniti dan memperkukuh persefahaman.
Respons komuniti agama terhadap UNIFOR boleh dihuraikan melalui tiga dimensi: pertama, penghargaan – bantuan membantu rumah ibadat memperbaiki kemudahan; kedua, penyertaan – pemimpin agama semakin terlibat dalam dialog dan libat urus dengan Kerajaan; ketiga, perkongsian tanggungjawab – rumah ibadat bukan sahaja menjadi tempat beribadah, tetapi turut berfungsi sebagai pusat komuniti dan wadah memperkukuh hubungan sosial.
Ini menjadikan UNIFOR satu contoh pendekatan pembangunan yang menghubungkan kebebasan beragama, kemudahan awam, modal sosial dan keharmonian masyarakat. Dalam konteks PCDS 2030, keharmonian sedemikian menyediakan persekitaran sosial yang menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Kesimpulan
Kesimpulannya, perpaduan kaum dan keharmonian agama bukan sekadar nilai sosial, tetapi merupakan prasyarat kepada pembangunan yang mampan.
Keamanan sosial memberikan ruang kepada ekonomi untuk berkembang, manakala ekonomi yang berkembang menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat.
Melalui pendekatan yang menggabungkan keharmonian masyarakat, kebebasan beragama, pembangunan modal insan, tadbir urus yang baik, dan peluang ekonomi yang inklusif, Sarawak dapat terus memperkukuh asasnya menuju sasaran PCDS 2030 – sebuah negeri yang maju, makmur dan manfaat pembangunannya dapat dirasai oleh seluruh rakyat.