KUCHING: Klinik Kesihatan Kuala Tatau perlu dinaiktaraf bagi meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, Klinik Kesihatan Kuala Tatau berada di kawasan luar bandar dan menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk penduduk kampung di kawasan persisiran dan rumah panjang berdekatan.
“Keadaan bangunan dan kuarters masih dibuat dari kayu. Maka, di sini saya mohon agar Klinik Kesihatan Kuala Tatau dinaiktaraf untuk meningkatkan akses kesihatan yang selesa dan ditambahbaik infrastruktur, pemerolehan peralatan baharu serta ditingkat mutu perkhidmatan perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Menurutnya, klinik kesihatan memainkan peranan penting sebagai tulang belakang sistem penjagaan kesihatan primer di Malaysia dengan menyediakan akses rawatan yang mudah, cepat dan mampu milik kepada masyarakat.
“Antara kepentingan utama klinik kesihatan adalah menyediakan khidmat rawatan untuk penyakit ringan, demam, jangkitan biasa serta luka-luka kecil tanpa perlu ke hospital. Selain itu, ia juga menawarkan penjagaan antenatal (ibu mengandung), postnatal (selepas bersalin), pemantauan tumbesaran bayi serta program imunisasi lengkap.
“Ia juga memainkan peranan dalam pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan melakukan saringan awal serta pemantauan bagi penyakit kronik melalui inisiatif seperti ‘National Health Screening Initiative’ (NHSI) dan PeKa B40,” ujarnya.
Selain itu katanya, klinik itu turut menawarkan perkhidmatan pergigian serta rawatan susulan dan pemulihan bagi pesakit kronik, termasuk perkhidmatan pemulihan carakerja serta fisioterapi asas dengan kos yang rawatan yang rendah dan mampu milik. -EDISI UKAS