SIBU: Sebanyak RM19,200 hadiah wang tunai ditawarkan menerusi Kemuyang Nature Challenge 2026 yang bakal berlangsung di Bukit Kemuyang, Sibu pada 25 Oktober ini, dengan dua kategori larian denai dibuka kepada peserta mengikut kumpulan umur.
Pengerusi penganjur, Willie Ling Wei Lee berkata, acara anjuran Kelab Larian Jalan Dan Bukit Sibu itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menguji kemampuan fizikal, malah menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti sukan.
Bertemakan “Kita Lari, Kita Jelajah, Kita Bersatu”, kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM11,400 bagi kategori 8KM Terbuka untuk peserta berusia 44 tahun ke bawah.
Juara lelaki dan wanita masing-masing akan menerima RM2,500 berserta trofi dan sijil, manakala pemenang tempat kedua menerima RM1,500 dan tempat ketiga RM1,000.
Peserta yang menduduki tempat keempat hingga kesepuluh pula masing-masing menerima RM100.
Bagi kategori 5KM Tertutup/Veteran untuk peserta berusia 45 tahun ke atas, hadiah keseluruhan RM7,800 disediakan.
Juara lelaki dan wanita masing-masing bakal membawa pulang RM1,500, diikuti RM1,200 bagi tempat kedua dan RM700 bagi tempat ketiga.
Peserta di tempat keempat hingga kesepuluh masing-masing menerima RM100.
Selain hadiah wang tunai, peserta berdaftar turut menerima baju rasmi larian, pingat penamat, nombor bib, gelang tangan pemeriksaan, sarapan pagi dan makan tengah hari percuma, perlindungan insurans peserta serta sijil elektronik.
Peserta juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang diadakan sempena acara berkenaan.
Penganjuran Kemuyang Nature Challenge 2026 diharap dapat menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kecergasan fizikal, selain memperkukuh interaksi komuniti melalui sukan larian denai.
Penyertaan dibuka kepada jabatan dan agensi kerajaan serta individu yang berminat menyertai acara tersebut.-EDISI UKAS