Battle of the Band RTS 2026 Cungkil Bakat Muzik, Mix Generation Juara
PUSA: Penyertaan 11 kumpulan muzik dalam pertandingan Battle of the Band sempena Regatta Tandang Sari Pusa (RTS) 2026 membuka ruang kepada penggiat muzik tempatan, khususnya golongan muda, untuk mengetengahkan bakat serta meneroka peluang kerjaya dalam industri kreatif.
Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang berkata, bakat muzik yang dimiliki golongan muda perlu dikembangkan secara berterusan agar berpotensi menjadi kerjaya dan sumber pendapatan pada masa hadapan.
“Jika kita mempunyai bakat, biarlah bakat itu dijadikan sebagai kerjaya supaya kita dapat terus maju dan berjaya pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri pertandingan Battle of the Band di Dataran Tandang Sari, Pusa, pada Selasa.
Pertandingan itu menghimpunkan kumpulan muzik dari beberapa kawasan, termasuk Konowit, Kuching, Saratok, Debak, Sri Aman dan Pusa, sekali gus memberi peluang kepada peserta mempersembahkan bakat masing-masing di hadapan masyarakat setempat dan pengunjung dari luar daerah.
Mix Generation dari Saratok muncul juara pertandingan, manakala Ahh Poo Jee dari Konowit menduduki tempat kedua dan Silen Killer dari Kuching di tempat ketiga.
Selain menjadi platform mengetengahkan bakat muzik, pertandingan itu turut memeriahkan RTS 2026 serta menggalakkan interaksi dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat dan pengunjung.
Penganjuran acara seumpama itu juga berpotensi memperkenalkan Pusa sebagai destinasi pelancongan, di samping membuka ruang kepada pengusaha tempatan mempromosikan produk mereka kepada pengunjung.
Battle of the Band diharap dapat diteruskan sebagai platform menyokong perkembangan bakat muzik tempatan serta menggalakkan penglibatan golongan muda dalam industri kreatif.-EDISI UKAS