DUN Sarawak Lulus RUU Perbekalan Tambahan 2026 Berjumlah RM120 Juta
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 melibatkan peruntukan tambahan berjumlah RM120.003 juta bagi menampung keperluan perbelanjaan kementerian dan jabatan negeri.
RUU berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini.
Menurut beliau, peruntukan tambahan itu diperlukan bagi menampung kos pelbagai perkhidmatan yang tidak diperuntukkan atau menerima peruntukan tidak mencukupi dalam Anggaran Perbelanjaan 2026 dan Anggaran Perbekalan Tambahan Pertama 2026.
“Perbelanjaan tambahan ini adalah untuk menampung kos pelbagai perkhidmatan, termasuk kementerian dan jabatan yang tidak diperuntukkan atau menerima peruntukan tidak mencukupi dalam anggaran 2026 yang pertama,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan.
Datuk Amar Douglas turut memaklumkan bahawa butiran terperinci mengenai perbelanjaan tambahan tersebut terkandung dalam Kertas Perintah Bil. 10 Tahun 2026.
RUU berkenaan turut mendapat sokongan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah sebelum diluluskan sebulat suara oleh Dewan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini