ADUN Murum Gesa Penubuhan Segera Jawatankuasa Khas Tangani Isu Legasi Bakun
KUCHING: Penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani isu legasi pembangunan di penempatan semula Bakun, khususnya melibatkan masyarakat di BRS Sungai Asap dan hak tanah adat, perlu disegerakan bagi memastikan penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, jawatankuasa berkenaan penting bagi meneliti pelbagai isu yang masih berbangkit serta mencari penyelesaian secara adil demi kepentingan komuniti terlibat.
Menurut beliau, cadangan penubuhan jawatankuasa khas atau task force itu telah disarankan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika pertemuan bersama wakil komuniti pada 25 Februari 2026.
“Walau bagaimanapun, sehingga kini jawatankuasa tersebut masih belum ditubuhkan, walaupun mesyuarat susulan telah diadakan.
“Justeru, saya memohon agar penubuhan jawatankuasa khas ini dapat disegerakan dengan penglibatan kementerian, agensi berkaitan dan wakil komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Kennedy menjelaskan, jawatankuasa khas itu perlu diberikan mandat yang jelas bagi membolehkan setiap isu berbangkit diteliti secara terperinci sebelum penyelesaian yang adil, menyeluruh dan berkekalan dikemukakan.
Tegasnya, usaha tersebut bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan isu legasi pembangunan yang masih dihadapi masyarakat dapat ditangani secara bertanggungjawab dan bijaksana.
“Saya yakin dengan kerjasama erat antara kepimpinan Kerajaan Sarawak, agensi berkaitan dan wakil komuniti, satu penyelesaian yang tuntas dapat diusahakan demi kepentingan rakyat,” tambah beliau.-EDISI UKAS