Perpustakaan Awam BDA Dinaik Taraf Berperingkat Hingga 2028
KUCHING: Perpustakaan Awam Bintulu di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) sedang dinaik taraf secara berperingkat sehingga 2028 bagi menambah baik kemudahan dan memenuhi keperluan pengguna, termasuk pelajar serta masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, skop naik taraf merangkumi ruang bengkel Do-It-Yourself (DIY), ruang sejarah tempatan, kawasan kanak-kanak dan sensori serta kemudahan membaca dan perbincangan.
“Buat masa ini, tiada perancangan untuk membina perpustakaan baharu kerana Perpustakaan Awam BDA di Bintulu masih dianggap mencukupi untuk menampung peningkatan jumlah keahlian dan memenuhi keperluan semasa pengguna perpustakaan, termasuk pelajar dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Menurut beliau, penambahbaikan ruang bengkel DIY melibatkan penyediaan peralatan seperti pencetak 3D, mBot, tablet, mesin jahit dan stesen pematerian bagi menyokong aktiviti pembelajaran dan kemahiran praktikal pengguna.
Tambahnya, ruang sejarah tempatan turut ditambah baik melalui pembaharuan kemudahan pameran dan penyampaian maklumat sejarah, manakala kawasan kanak-kanak dan sensori akan dilengkapi susun atur ruang serta perabot bersesuaian, termasuk kemudahan untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Dalam pada itu, Datuk Dr Penguang berkata, BDA akan terus memantau penggunaan perpustakaan dan perubahan keperluan masyarakat, khususnya berikutan peningkatan jumlah pelajar dan golongan muda. -EDISI UKAS