Dua Buaya Besar Ditangkap di Sungai Lemai, Balingian
MUKAH: Dua ekor buaya jantan berukuran 13.1 kaki dan 14.7 kaki berjaya ditangkap dalam Operasi Pengurangan Populasi Buaya di Sungai Lemai, Balingian yang berlangsung dari 12 hingga 25 Oktober ini.
Operasi yang dilaksanakan Sarawak Forestry Corporation (SFC) itu bertujuan mengurus populasi buaya secara terkawal, dengan penglibatan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi menyambut baik pelaksanaan operasi berkenaan dan menegaskan kepentingan pemantauan berterusan bagi menangani risiko kehadiran buaya bersaiz besar di kawasan yang turut digunakan oleh penduduk.
Menurut beliau, pemantauan berkala perlu diperluas ke lokasi lain sekitar Balingian yang dikenal pasti mempunyai kehadiran buaya, selain kawasan berisiko perlu dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan dan dilengkapi papan tanda amaran yang bersesuaian.
"Saya harap penduduk memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang operasi dengan tidak mengganggu peralatan yang dipasang serta sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti berhampiran sungai," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Yakub turut merakamkan penghargaan kepada SFC, Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA), Bomba Sukarelawan Balingian dan Pasukan Petugas Khas Pengurusan Konflik Manusia-Buaya Daerah Balingian atas komitmen mereka dalam menjaga keselamatan masyarakat setempat.
Sementara itu, pihak SFC memberitahu, operasi itu melibatkan lapan anggota dari Sibu dan Bintulu dengan kerjasama pemburu buaya berlesen, Sahari Rapaie, serta sokongan RELA, Bomba Sukarelawan Balingian dan Pasukan Petugas Khas Pengurusan Konflik Manusia-Buaya Daerah Balingian.
Pada hari kedua operasi, pasukan menjalankan rondaan dan pemeriksaan terhadap umpan pancing buaya yang dipasang di sepanjang Sungai Lemai sebelum berjaya menangkap dua ekor buaya jantan berkenaan.
Kedua-dua buaya itu dibawa ke Jeti Tapak Pesta Bederun, Balingian sebelum dipindahkan.
Dalam pada itu, SFC turut memohon kerjasama penduduk supaya tidak menghampiri kawasan pemasangan pancing buaya atau mengganggu tali pancing dan pelampung sepanjang tempoh operasi.
"Operasi akan diteruskan sehingga 25 Oktober ini bagi membolehkan pemantauan dan pengurusan populasi buaya dilaksanakan secara terkawal mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
"Penduduk setempat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti berhampiran sungai bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini," tambah kenyataan itu.-EDISI UKAS