Pelaburan Baharu Perlu Perkasa PKS, Vendor Tempatan
KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan mewajibkan pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan bagi setiap projek pelaburan baharu bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan anak negeri mendapat manfaat langsung daripada pertumbuhan sektor industri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, berkata langkah itu penting bagi membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk menyertai rantaian pembekal industri, sekali gus memperluas penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Langkah ini penting supaya PKS tempatan dan perniagaan anak negeri dapat diintegrasikan secara terus ke dalam rantaian pembekal industri gergasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, beliau turut mencadangkan program latihan dan pensijilan bertauliah bagi juruaudit karbon (carbon auditors) serta pakar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi institusi tempatan seperti CENTEXS.
Cadangan itu bertujuan membuka peluang kepada anak muda Sarawak menguasai kemahiran khusus dan mengisi pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor ekonomi hijau.
Beliau turut mengusulkan Program Bantuan Lesen Memandu Bersubsidi khusus untuk golongan B40 bagi membantu golongan muda memperoleh lesen memandu yang sah, sekali gus memperluas peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan dan ekonomi gig.
Bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek pembangunan, beliau mencadangkan penubuhan sebuah agensi khas untuk menyelaras keseluruhan kitaran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), merangkumi proses tender, penyerahan tapak dan pemantauan di lapangan.
Menurut beliau, langkah itu dapat mengurangkan pertindihan birokrasi, memendekkan tempoh penyiapan projek dan memastikan peruntukan pembangunan digunakan secara lebih berkesan.
Dalam aspek pembangunan infrastruktur, beliau turut mengesyorkan pengukuhan mekanisme cagaran jalan serta kawal selia syarat kelulusan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pemaju swasta bertanggungjawab memulihkan jalan awam atau taman yang terjejas akibat aktiviti pembinaan.
Bagi kawasan Stakan, antara projek yang disentuh beliau termasuk Rancangan Tebatan Banjir Samarindah, pembinaan dua tangki air aras tinggi di Taman Samarindah serta penambahbaikan sistem perparitan di kampung tradisional menerusi peruntukan agensi pembangunan IRSDA.