Projek Bandar Pintar Kuching Bernilai RM550 Juta Perkukuh Infrastruktur Digital
KUCHING: Sarawak bakal memperkukuh infrastruktur digital dan kecekapan pengurusan bandar menerusi pelaksanaan projek ‘Kuching Smart City and Digital Connectivity’ yang dianggarkan bernilai RM550 juta.
Projek berkenaan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), analisis data dan infrastruktur digital bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan bandar serta kualiti hidup rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hadir menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) projek berkenaan di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, projek itu akan melibatkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta beberapa kawasan lain, sekali gus memberi lonjakan kepada pembangunan infrastruktur digital di Sarawak.
“Projek ini dianggarkan bernilai RM550 juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.
Menurut beliau, MoU tersebut dimeterai antara Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT).
Sementara itu, menurut kenyataan media SKMM, pelaksanaan awal projek berkenaan akan memberi tumpuan kepada kawasan Greater Kuching yang merangkumi DBKU, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Antara komponen utama projek tersebut ialah pembangunan platform bandar bersepadu berasaskan AI dan data, pengukuhan infrastruktur rangkaian teras serta penyediaan kemudahan Wi-Fi awam.
Projek itu turut merangkumi penggunaan teknologi kembar digital bagi menyokong perancangan, pemantauan dan pengurusan bandar yang lebih cekap serta bersepadu.-EDISI UKAS