Kebebasan Bersuara Wakil Rakyat Perlu Berasaskan Fakta
KUCHING: Kebebasan bersuara dalam demokrasi perlu disertai tanggungjawab, khususnya dalam memastikan setiap kenyataan dan tuduhan yang dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berasaskan fakta serta bukti yang boleh dipertanggungjawabkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata hak untuk mengkritik kerajaan tidak seharusnya disalahgunakan untuk membuat tuduhan tanpa bukti atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi individu lain.
“Kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk menghina. Dan keistimewaan sebagai Ahli Dewan bukan kekebalan daripada Peraturan Mesyuarat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul yang dibangkitkan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Khamis.
Allan berkata, pembangkang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pentadbiran kerajaan melalui teguran, cadangan dan penelitian terhadap dasar awam, namun kebebasan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Menurutnya, setiap kenyataan yang dibuat dalam Dewan bukan sahaja didengari oleh Ahli Yang Berhormat lain, malah direkodkan dalam Hansard, dilaporkan media dan berpotensi tersebar kepada masyarakat melalui media sosial.
Jelas beliau, tuduhan yang tidak benar boleh mencemarkan reputasi seseorang, menjejaskan keyakinan masyarakat serta mewujudkan persepsi salah yang berterusan walaupun penjelasan diberikan kemudian.
Sehubungan itu, Allan menegaskan bahawa Peraturan Mesyuarat perlu dihormati bagi memastikan setiap dakwaan serius dinilai berdasarkan rekod sebenar dan bukti yang tersedia.
Beliau turut menekankan kepentingan membina budaya politik yang lebih matang di Sarawak, berteraskan fakta, menghormati perbezaan pendapat serta tidak menjadikan serangan peribadi sebagai pengganti hujah yang berkualiti.
Menurutnya, sebarang tindakan terhadap Ahli Dewan hendaklah berasaskan peraturan, bukti dan pertimbangan yang adil, tanpa mengira kedudukan politik individu terbabit.
Tegas beliau lagi, demokrasi yang matang bukan diukur melalui kebebasan membuat tuduhan, sebaliknya melalui keberanian mempertanggungjawabkan setiap perkataan yang diucapkan.-EDISI UKAS